
Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
KEPUTUSAN sama ada menyenaraikan Lee Zii Jia di kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 dijadualkan 15 hingga 20 Februari ini yang akan diadakan di Malaysia terletak ditangan jurulatih.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, BAM akan melakukan persiapan terbaik dan terpulang kepada jurulatih untuk mencadangkan senarai pemain.
“Mungkin kombinasi pemain profesional (bebas) dengan BAM, itu semua terpulang kepada mereka (jurulatih).
“Kita nak kemukakan pasukan terbaik mewakili Malaysia, mereka yang terbaik dalam Malaysia perlu diketengahkan,” katanya ditemui media selepas majlis pelancaran Larian Obor Komanwel 2022, di ibu negara , sebentar tadi.
Norza berkata, BAM mengharapkan kejohanan ini sebagai permulaan bagi penganjuran yang lebih besar pada masa akan datang.
“Sebagaimana kita sedia maklum, kita telah mendapat kelulusan dari Kerajaan untuk anjurkan kejohanan ini, perkara lanjut akan diumumkan Setiausaha BAM, Datuk Kenny Goh.
“Kejohanan ini juga adalah kerjasama kerajaan negeri Selangor dan merupakan kejohanan pertama selepas kita menghadapi krisis pandemi Covvid-19,” jelasnya.
Tambahnya lagi, BAM akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan pada kejohanan ini bagi memastikan semua peserta berada dalam keadaan yang selamat.
“Kita tidak mahu lihat keadaaan Covid-19 berlaku pada kejohanan ini, perkara yang lebih lengkap dan menyeluruh akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya yang memaklumkan kejohanan tidak akan dijalankan dalam situasi gelembung sukan sepenuhnya jika melihatkan situasi sekarang yang lebih ke arah endemik Covid-19.











Add Comment