Badminton

Kekalkan fungsi Akademi Badminton Malaysia!


AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) bakal bertukar peranan menjadi ‘pusat sukan sosial’ andai pihak pengurusan tidak bertegas memastikan ia kekal sebagai pusat kecemerlangan badminton negara.

Ketika ini ABM menempatkan antara bakat-bakat terbaik negara untuk digilap menjadi pemain-pemain yang disegani di pentas antarabangsa satu hari nanti.

Namun, sudah muncul desas-desus menyatakan ada kumpulan pemain peringkat sosial kategori veteran yang mahukan ’kerjasama’ daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyediakan kemudahan buat mereka.

Menurut sumber yang rapat dengan BAM, kumpulan tersebut meminta BAM menyediakan jurulatih dan pemain untuk mereka melakukan sparring bagi mempersiapkan pemain veteran ini untuk beraksi dalam pertandingan.

Difahamkan, kumpulan ini yang sering menyertai kejohanan Masters Dunia, kali ini mahu mengambil bahagian di satu pertandingan Masters di England, Mac nanti.

Sebagai rekod, kejohanan Masters Dunia terdiri daripada tiga peringkat iaitu – 1. Premier (untuk pemain yang pernah beraksi di kejohanan kebangsaan negara masing-masing), 2. Kompetitif (untuk mereka yang pernah beraksi di pentas serantau), dan 3. Sosial.

Ia membabitkan pemain dengan umur minimum 35 tahun dan mempertandingkan 10 kategori iaitu 35 tahun ke atas, 40+, 45+, 50+, 55+, 60+, 65+, 70+, 75+ dan 80+.

Kejohanan ini berbeza dengan Kejohanan Senior Dunia anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang membabitkan bekas-bekas pemain antarabangsa.

Jelas pertandingan Masters ini tidak mempunyai signifikan buat negara, sebaliknya sekadar untuk berseronok atau lebih tepat mencabar keegoan diri.

BAM perlu sedar andai benar permintaan ini dipenuhi, ia akan menjadi contoh yang buruk kerana ia akan ’membuka pintu’ kepada pihak lain meminta ‘kerjasama’ yang serupa pada masa depan.

Secara logiknya, lebih baik untuk BAM membuka pintu ABM kepada pemain profesional negara untuk memberi peluang melakukan sparring dengan pelatih di akademi itu, daripada bermain secara sosial dengan kelompok veteran tersebut.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: