Bola Sepak

PJ City FC perkenal tujuh muka baharu, sasar ‘Top 5’ musim ini


Oleh: SURYATI MOHD NOR/ KHAIRUL AKMA

KELAB Petaling Jaya City (PJ City FC) dilihat melakukan persediaan lebih rapi menjelang musim Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

PJ City terus menjadi pasukan Liga Super tunggal yang membariskan pemain-pemain lokal seperti sebelum ini, malah turut menaruh harapan tinggi untuk berada dalam kelompok terbaik musim baharu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City FC, Ganesh Shanmugam memberitahu pengalaman musim lalu dengan aksi baik pasukan dan menamatkan saingan di tempat ketujuh Liga Super adalah pencapaian yang memuaskan.

“Musim ini PJ City FC terus dibarisi dengan pemain-pemain lokal dan kami gembira dengan keputusan musim lalu.

“Dengan tujuh pemain baharu ini, saya yakin dengan sasaran berada dalam kedudukan top 5 musim ini. Pemain-pemain sudah menjalani latihan sejak Disember lalu.

“Saya ada juga bertemu dan bercakap dengan pemain-pemain dan mereka sedia memberi 101 peratus musim ini.

“Walaupun bukan senang nak capai top 5, tetapi kita perlu sasarkan yang lebih tinggi berdasarkan performance musim lalu.

Ganesh (kanan) bersama Maniam pada sidang media Majlis Pengenalan Pemain-Pemain Baharu 2022, Isnin.

“Barisan kejurulatihan telah bekerja kuat, cuma kini hanya pemain-pemain sahaja yang perlu berusaha untuk mencapai sasaran itu,” jelasnya ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain-Pemain Baharu 2022 pada Isnin.

Sementara itu, ketua jurulatih P.Maniam yakin dengan gandingan beberapa pemain senior, barisan pemain muda juga akan lebih meningkat.

“Seperti musim lalu, kami juga meletakkan beberapa pemain senior seperti Mahali Jasuli, Khyril Muhaimeen, Darren Lok dan beberapa lagi pemain lain yang bergandingan dengan pemain muda.

“Malah saya harap tahun ini juga akan lebih ramai pemain-pemain PJ City yang dipanggil menyarung jersi negara berbanding tiga orang tahun lalu,” jelasnya.

Antara muka baharu PJ City FC musim ini ialah Mohamad Nasir Nasharudin, Muhammad Azfa Arif Mohd Sukri, Aron Kumar, Kumaahran Sadhasivam, Marcus Mah, Barathkumar dan Shivan Pillay.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: