Bola Sepak

KBS sokong sepenuhnya usaha FAM jadi tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023


Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

KEMENTERIAN  Belia dan Sukan (KBS) akan terus memberi sokongan sepenuhnya dalam usaha merealisasikan impian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadi tuan rumah kelayakan Piala Asia 2023 Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memberi ‘jaminan’ akan memastikan  bidaan tuan rumah untuk pertandingan itu berjalan lancar dan berjaya seperti yang diingini semua pihak.

Menurutnya, komitmen tinggi akan diberikan kepada FAM supaya badan induk bola sepak negara itu tidak berhadapan masalah untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan penting terbabit.

“Kita mengalukan usaha yang dibuat FAM dan KBS sudah tentu akan beri kerjasama rapat serta komitmen supaya mendapat hasil dinginkan iaitu menjadi tuan rumah kepada perlawanan kelayakan itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5, Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, pihaknya sudah menghantar borang permohonan untuk menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.

“Kita sudah hantar (borang permohonan) kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) termasuk mendapatkan sokongan semua pihak merangkumi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara(MKN).

“Isu sekarang adalah tempoh kuarantin tujuh hari. Seperti sedia maklum ada ramai yang membida untuk menjadi tuan rumah.

“ Oleh itu, kita kena berikan terbaik merangkumi fasiliti seperti hotel dan juga venue perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, FAM tetap meletakkan bidaan tuan rumah membabitkan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 menjadi antara matlamat utama bagi memastikan skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: