Bola Sepak

ACL: Cabaran getir menanti JDT


Pemain-pemain JDT mula menjalani latihan awal musim. Foto: JDT

Oleh: JJFIRDAUS

KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran terbesar mereka dalam sejarah penyertaan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas diundi dalam Kumpulan I.

Selepas undian yang dilakukan secara maya oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), penyertaan keempat JDT dalam ACL ini dilihat paling sukar apabila bakal bersaing dengan juara Liga 1 Jepun, Kawasaki Frontale.

Selain Kawasaki Frontale, JDT juga akan berhadapan dengan kelab tempat ketiga Liga Super China, Guangzhou FC dengan satu lagi slot menjadi rebutan antara kelab Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan juga Port FC dari Thailand.

Namun ini bukanlah kali pertama JDT berhadapan dengan kelab dari Jepun, China, Korea Selatan mahupun Thailand. Sejak dari awal penglibatan JDT dalam ACL bermula di peringkat kelayakan, JDT sudah biasa menentang kelab-kelab dari negara kuasa besar bola sepak Asia.

Menurut rekod, kemenangan sulung JDT di Kejohanan ACL adalah dengan menewaskan Kashima Antlers 1-0 di Stadium Larkin pada 2019 dengan pada ketika itu Kashima Antlers adalah juara bertahan.

Selain itu, JDT juga pernah menewaskan wakil Korea Selatan, Suwon Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim dan berjaya mengikat kelab China Shandong Luneng 1-1 dalam aksi di laman sendiri.

Dengan kehadiran pemain-pemain baharu terutama pemain antarabangsa beserta pengalaman selama tiga tahun di ACL, JDT pastinya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran kejohanan kelab terbaik Asia ini.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung bermula pada 15 April hingga 1 Mei 2022 yang akan dijalankan di venue berpusat yang telah ditetapkan oleh AFC kerana SOP kuarantin yang menyukarkan format ‘home and away’ untuk dijalankan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: