Bola Sepak

FAM terima peruntukan RM10 juta dari Kerajaan


Hamidin (kiri) menerangkan kepada Ismail Sabri mengenai  pejabat FAM baharu yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menerima berita gembira apabila Kerajaan menyalurkan  peruntukan RM10 juta bagi pembangunan bola sepak negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan itu mencerminkan sokongan kerajaan kepada badan induk sukan negara itu.

Ujarnya,  kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik bagi membantu perkembangan mutu bola sepak negara.

“Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara bola sepak yang disegani.

“Sasaran utama F:30 adalah menjadikan pasukan negara antara lima yang terbaik di Asia menjelang 2030. Bagi menunjukkan sokongan kerajaan kepada pembangunan bola sepak negara, saya mengumumkan kerajaan akan menyumbangkan sebanyak RM10 juta kepada FAM, tahun ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM, di Presint 5, hari ini.

Tambahnya lagi, bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata dan wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

“Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja.

“Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

Sejajar dengan pembangunan ini,saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia, amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang,” jelasnya.

Datuk Hamidin Mohd Amin

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

“Saya nak maklumkan masa kunjungan hormat saya bertemu Perdana Menteri di Bangunan Parlimen pada November tahun lalu, saya telah menyatakan bagaimana terkesannya FAM dari segi bila Covid-19 ini pada 2020, jadi itu memang digunakan untuk FAM keseluruhan.

“Jadi itu (sumbangan) memang akan digunakan untuk FAM keseluruhannya dan untuk pasukan kebangsaan. Saya akan bincang dengan Exco mengenai apa yang perlu dibuat.

“Kita (FAM) pun sebelum ini kehilangan penaja dan kita tengah mencari penaja baharu, jadi sumbangan ini dapat membantu FAM untuk jalankan apa jua usaha kerana betapa sukarnya kita sejak pada tahun 2020.

“Perdana Menteri memahami saya punya pandangan dan keperluan apabila berjumpa dan hari ini dia buat pengumuman, saya rasa ia satu berita baik dan kita akan gunakan duit itu sebaik mungkin termasuk untuk skuad kebangsaan dan kegunaan FAM kerana kita sudah ada peruntukan untuk tahun depan,” katanya,” katanya pada sidang media majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Persint 5 di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sumbangan diumumkan perdana menteri itu adalah tambahan daripada peruntukan yang sudah diluluskan di Parlimen melalui bajet 2022.

“Alhamdulillah pengumuman tadi berita baik buat bukan sahaja FAM, tapi kepada seluruh peminat bola sepak di negara,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: