Bola Sepak

Pasukan Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya mula ‘bersua muka’


Dell Akbar Khan

PASUKAN Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusikan oleh Datuk Dell Akbar Khan telah bersidang buat kali pertama  bagi melakukan bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Pertemuan pertama yang berlangsung di Wisma FAM pada Rabu menyaksikan antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat sulung badan bebas itu ialah membincangkan terma rujukan badan itu dalam mengumpul dapatan dan menilai laporan prestasi pasukan yang disediakan oleh barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan.

Ahli-ahli badan bebas berkenaan yang hadir pada mesyuarat itu tadi terdiri daripada bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa, bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam, bekas kapten pasukan negara, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell.

Khawari turut berada dalam pasukan Badan Siasatan Bebas Harimau Malaya.

Pada 7 Januari lalu, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah mengumumkan pelantikan Datuk Dell Akbar, bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur sebagai Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

Ahad lalu, Cakap Sukan mendedahkan bahawa Dell telah menerima laporan mengenai pasukan Harimau Malaya ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dell sah terima laporan, khabarnya ada bekas kapten dan pegawai tertinggi AFC

Badan ini djangka bersidang dalam masa terdekat disebabkan keperluan melantik jurulatih baharu untuk persiapan menjelang kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu dilantik oleh FAM bagi mengetuai proses bedah siasat terhadap kegagalan di Piala AFF Suzuki 2020 serta mengemukakan cadangan penambahbaikan pasukan kebangsaan.

Shukor Adan

Dikenali dengan kaedah pengurusan yang terbuka (pejabat Dell di Tingkat 3 FAM sentiasa terbuka ketika beliau menjadi Setiausaha Agung), Dell diberi kuasa menemubual mana-mana pemegang taruh untuk memperhalusi setiap maklumat serta menyenaraikan langkah-langkah penambahbaikan bertujuan memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Malah badan siasatan bebas ini juga diberi kuasa untuk menemu bual mana-mana pemegang taruh dan individu yang boleh memberi cadangan menambah baik kaedah pengurusan pasukan kebangsaan.

Dell dijangka meneliti proses persiapan, kaedah panggilan skuad kebangsaan, penjadualan liga, pengurusan pasukan kebangsaan, khidmat sokongan dan pengurusan persepsi pasukan kebangsaan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: