
Oleh: Mohd Fariq
KETUA pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak ternyata tidak menyangka lambaian kepada Serbegeth Singh petang tadi adalah yang terakhir selepas bekas pemain kebangsaan itu disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.
Jelas Aidil Zafuan kepada CAKAPSUKAN, dia sempat melambaikan tangan kepada Shebby semasa dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak dari sekolah.
“Saya dan Shebby sebenarnya tinggal di perumahan yang sama iaitu di Taman East Ledang, Nusajaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Shebby Singh meninggal dunia
“Selepas mengambil anak pulang kira-kira jam 5.30 petang saya dapat lihat seorang penunggang basikal seorang diri kira-kira 1 kilometer dari kawasan perumahan kami.
“Ketika itu cuaca sangat panas, saya berada dalam kereta dan sempat melambaikan tangan serta menyapanya (hai).
“Namun saya terkejut apabila melihat berita dan dan mendapat perkhabaran melalui whatsapp perumahan kira-kira jam 8 malam tadi mengenai kejadian yang menimpa Shebby,” katanya.
Terdahulu Shebby yang merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan meninggal dunia, petang tadi akibat serangan jantung ketika sedang berbasikal.
Mendiang yang lahir pada 20 Ogos 1960 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan Malaysia berketurunan Punjabi dari 1978 hingga 1996.
Beliau juga merupakan kapten Kuala Lumpur F.A. membantu pasukan berkenaan menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.
Add Comment