Bola Sepak

AFCON 2021 – Sierra Leone kejutkan juara bertahan


Kesebelasan utama Sierra Leone.

Oleh : JJ Firdaus

TIGA lagi perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berlangsung semalam dengan Sierra Leone mencipta kejutan dan Nigeria berjaya meraih tiga mata penuh.

Dalam aksi di Stadium Japoma, skuad Sierra Leone yang berjaya layak selepas 25 tahun mencipta kejutan pertama AFCON kali ini apabila berjaya mengikat juara bertahan, Algeria 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan E semalam.

Aksi cemerlang penjaga gol, Mohamed Kamara menafikan tujuh percubaan berbahaya Algeria bagi memastikan Sierra Leone berjaya merampas satu mata dan menafikan Algeria pembukaan kempen yang baik.

Kamara yang pertama kali muncul di pentas AFCON kelihatan menangis apabila diberikan trofi pemain terbaik kejohanan ekoran dari aksi tangkas yang ditunjukkan penjaga gol berusia 22 tahun itu.

Dengan keputusan seri ini, Algeria yang dibarisi pemain bintang termasuk kapten, Riyad Mahrez kini perlu menang baki dua lagi perlawanan kumpulan bagi memastikan mereka layak ke peringkat 16 pasukan terbaik.

Sementara itu dalam perlawanan Kumpulan D, pertemuan dua nama besar AFCON, Mesir dan Nigeria menyaksikan Nigeria muncul pemenang dengan keputusan 1-0 hasil jaringan pemain Leicester City, Kelechi Iheanacho pada minit ke-30.

Mesir yang diketuai penyerang sensasi Liverpool, Mohamad Salah jelas bergelut untuk memecah benteng Nigeria dengan beberapa percubaan Salah berjaya dipatahkan ketangkasan penjaga gol.

Dengan kekalahan ini, Mesir kini di tangga terbawah Kumpulan E apabila dalam satu lagi pertemuan, Sudan dan Guinea-Bissau berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam aksi di Stadium Roumde Adjia itu.

Guinea-Bissau harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengutip tiga mata penuh apabila sepakan penalti pemain tengah, Pele terlalu lemah dan mudah ditampan penjaga gol sebelum tindakan susulan terkena palang untuk kedudukan kekal tanpa jaringan hingga tamat perlawanan.

Tiga lagi perlawanan bakal berlangsung bermula tengah malam ini waktu Malaysia dengan Equatorial Guinea bakal berhadapan Ivory Coast dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E.

Dua lagi perlawanan Kumpulan F akan menemukan Tunisia dan Mali sebelum Mauritania dan Gambia bakal melengkapkan perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: