
Oleh : JJ Firdaus
EMPAT perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) berlangsung semalam dengan keempat-empat perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0.
Penalti pada minit akhir perlawanan oleh penyerang Liverpool, Sadio Mane berjaya memberikan tiga mata penuh buat Senegal apabila menewaskan Zimbabwe 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.
Senegal adalah antara pasukan pilihan AFCON kali ini terpaksa berhempas pulas sebelum kesilapan pertahanan Zimbabwe yang menahan bola dengan tangan menafikan mereka satu mata berharga.
Dibawah kendalian Aliou Cisse, Senegal kini berkongsi tempat teratas Kumpulan B bersama-sama Guinea yang juga berjaya mencatat kemenangan pertama selepas menewaskan Malawi juga dengan kedudukan 1-0.
Jaringan tunggal pemain pertahanan, Issiaga Sylla pada minit ke-35 sudah cukup untuk memberikan skuad kendalian Kaba Diawara tiga mata untuk permulaan kejohanan yang baik buat mereka.
Dalam perlawanan Kumpulan C pula, pertembungan dua gergasi AFCON, Maghribi dan Ghana menyaksikan Maghribi berjaya mendapatkan tiga mata penuh menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Ahmadou Ahidjo.
Gol tunggal dijaringkan penyerang kelab Angers, Sofiane Boufal ketika perlawanan berbaki lapan minit sekaligus mengecewakan juara empat kali AFCON ini dan skuad Black Star pastinya perlu bangkit dalam pertemuan seterusnya.
Satu lagi perlawanan Kumpulan C juga di stadium yang sama menemukan pendatang baharu AFCON, Comoros menentang Gabon dengan Gabon berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0.
Jaringan Aaron Boupendza pada minit ke-16 sudah cukup untuk mengecewakan Comoros yang berjaya menyajikan aksi mantap walaupun muncul buat kali pertama dalam kejohanan dwitahunan ini.
Tiga lagi perlawanan bakal berlangsung tengah malam ini waktu Malaysia dengan juara bertahan, Algeria akan menghadapi cabaran Sierra Leone untuk perlawanan pembukaan Kumpulan D.
Pertembungan Kumpulan E pula bakal menyaksikan dua lagi nama besar AFCON, Mesir dan Nigeria akan bertemu sesama sendiri manakala Sudan akan berhadapan dengan Guinea- Bissau dalam satu lagi perlawanan.
Add Comment