Bola Sepak

FAM ‘clueless’?


Sebahagian daripada 24 pemain Harimau Malaya yang beraksi di Singapura baru-baru ini. Foto: FAM

Oleh: SURYATI MOHD NOR

“ADAKAH pasukan teknikal di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak cukup bagus untuk membuat bedah siasat bagi pasukan kebangsaan?,” soal Lim Teong Kim.

Bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mencari beberapa jawapan susulan daripada penubuhan Badan Siasatan Bebas (BSB) yang dilantik FAM untuk bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

“Mengapa FAM tidak ambil siasatan daripada staf-staf teknikal yang ada di sana termasuk daripada Pengarah Teknikal (Scott o’Donell) yang baharu dilantik? Sudah tentu dia mesti tahu mengenai prestasi skuad negara selepas menerima jawatan itu.

“Mereka (staf-staf teknikal) perlu tahu apa yang berlaku di Singapura (Piala AFF). Mengapa presiden FAM tidak yakin dengan barisan kejurulatihan atau ‘technical department’?. Ini adalah tugas mereka.

“Adakah anda tidak tahu apa yang dilakukan? Ini semua mengarut dan ‘clueless’ daripada FAM.

“Saya cuma ingin tahu dan jangan terus perbodoh-bodohkan peminat-peminat bola sepak negara. Mereka seolah-olah mempermainkan bola sepak negara. Cukup!,” kongsinya kepada CAKAP SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: Dell sah terima laporan, khabarnya ada bekas kapten dan pegawai tertinggi AFC

ARTIKEL BERKAITAN: Dell Akbar Khan ketuai Badan Siasatan Bebas kaji laporan prestasi Harimau Malaya

Dalam pada itu, Teong Kim,58, yang kini bermastatutin di Munich memberitahu, dia bukan memperlekehkan barisan BSB yang dilantik FAM.

“Mereka dilantik FAM dan pastinya mereka akan buat kerja mereka. Saya tidak memperlekehkan sesiapa tetapi anda mesti faham bilakah orang-orang ini tinggalkan bola sepak?

Lim Teong Kim

“Adakah mereka mengikuti penuh semua perlawanan pasukan kebangsaan tahun lalu (2021)? Adalah mereka melihat permainan pasukan kebangsaan sepanjang 90 minit atau sekadar melihat 10-15 minit?

“Untuk analisis perlawanan, perlu tengok permainan sepenuhnya,” jelasnya.

Bagi Teong Kim, ini adalah tindakan ‘interference‘ daripada orang luar yang tidak tahu hendak bermula dari mana.

“Ini adalah tugas pengarah teknikal. Dia mesti mengeluarkan satu jawapan atau ‘finding’. Tetapi mengapa bagi orang luar? Sepatutnya, panggil Tan Cheng Hoe (bekas ketua jurulatih), teknikal staf… ini baharu betul.

“Ia seolah-olah seperti nak bedah ‘mayat’ tetapi panggil tukang kebun, tukang masak atau orang yang bukan pakar (yang bukan berada dalam barisan teknikal pasukan kebangsaan)… Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sehingga panggil orang luar.

“Dan ianya satu tempoh yang lama untuk mengetahui keputusan bedah siasat ini,” jelasnya.

Selain itu, Teong Kim mengakui sudah tiba masanya untuk melihat sesuatu yang berlainan daripada sekarang.

“Presiden Bolasepak Vietnam mengambil tanggungjawab bola sepak negaranya begitu serius sehingga meletak jawatan. Tetapi berbeza pula di Malaysia…”.

“Dan bagi saya sudah tiba masanya untuk saya dan peminat-peminat bola sepak tempatan melihat orang ‘baharu’ di barisan tertinggi FAM supaya kita boleh lihat sesuatu yang berlainan daripada sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hamidin masih relevan terajui FAM ā€“ Bung Mokhtar

“Selagi orang-orang yang sama berada di sana dan campur tangan saya pasti bola sepak kita tidak akan maju,” tambahnya.

Sebagai rekod, Isnin lalu FAM telah menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusi Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Dell Akbar Khan bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Selain Dell, dikhabarkan antaranya ahli lain dalam pasukan ini adalah seorang bekas kapten kebangsaan, bekas pegawai tertinggi Asian Football Confederation (AFC), seorang veteran media dan seorang yang masih memegang jawatan tertinggi di dalam sebuah organisasi kerajaan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: