Bola Sepak

Hamidin masih relevan terajui FAM – Bung Mokhtar


 

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin

DI SEBALIK desakan netizen terutama peminat bola sepak tanah air supaya Datuk Hamidin Mohd Amin meletak jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), beliau sebenarnya tetap masih relevan dan merupakan individu paling layak untuk menduduki kerusi No.1 itu pada ketika ini berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta hubungan antarabangsa yang dimilikinya.

Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bersuara bagi mewakili ahli-ahli gabungan FAM yang lain menganggap kegagalan skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu tidak wajar dijadikan asbab untuk mendesak Datuk Haji Hamidin meletak jawatan, jika semua pihak meneliti serta menilai semula apa yang telah dilakukan Presiden FAM itu sepanjang beliau mula dipilih pada 14 Julai 2018.

“Kredibiliti Datuk Haji Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana di peringkat antarabangsa, beliau telah mendapat pengiktirafan apabila pada mulanya dipilih sebagai Naib Presiden AFF pada Mac 2019, sebelum melepaskan jawatan tersebut kerana mahu memberi fokus selepas telah dipilih pula sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023, sebulan kemudian.

“Malah ketika Peta Hala Tuju FAM F:30 dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018, kita dapat lihat yang Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut sama hadir, sekali gus menandakan yang hubungan antarabangsa dimiliki Datuk Haji Hamidin cukup baik dan ia diperlukan dalam usaha kita untuk membangunkan serta memajukan bola sepak Malaysia.

“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau letak jawatan? Sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Brad Maloney telah berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik ke Piala Asia B-23 2022. Adakah ketika itu FAM dipimpin oleh presiden lain?

“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 dan pada prestasi terbaik meraih kemenangan bergaya ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, siapa Presiden FAM ketika itu? Masih Datuk Haji Hamidin juga, kan?

“Sudah tentu Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tak reti pasal bola kerana beliau seorang yang berpengalaman luas 30 tahun dalam bola sepak dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi bagi saya, desakan supaya  Hamidin meletak jawatan sebagai Presiden FAM adalah sesuatu yang tidak wajar, sebaliknya beliau masih relevan dan biarlah beliau meneruskan mandat yang telah diberi oleh ahli-ahli gabungan FAM untuk tempoh penggal yang ditetapkan iaitu dari 2021 hingga 2025 ini,” kata Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading