
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PEMERHATI bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli mahu UiTM FC dikembalikan kepada matlamat asal dengan memberikan keutamaan kepada pemain di kalangan pelajar universiti saja untuk beraksi bersama pasukan.
Tegasnya, inisiatif ini boleh dilakukan untuk menyelamatkan UiTM FC daripada terus berkubur dalam saingan Liga Premier.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan UiTM berkata, pasukan bertaraf universiti itu sepatutnya menghimpunkan pemain terhebat di kalangan pelajar seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
Katanya, matlamat terbabit sudah terpesong terutama ketika UiTM FC beraksi di Liga Super dengan masing-masing terlalu ‘ghairah’ mengambil pemain lain dan import sehingga dibebani kewangan yang tinggi.
“Apa yang boleh saya katakaa adalah agak memalukan jika UiTM tarik diri dengan hanya beraksi di Liga M3 atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) sekali gus usaha dan pengorbanan selama ini adalah sia-sia.
“Saya memang ada mendengar bahawa peruntukan kepada pasukan terbabit untuk musim 2022 tidak sampai separuh sekali gus agak sukar untuk membentuk skuad yang mantap.
“Namun, pengurusan UiTM perlu lebih bijak mencari dana tambahan terutama membina jalinan atau perjanjian bersama Alumni untuk memperoleh dana,” tegasnya.
Difahamkan ketika ini pasukan bertaraf universiti itu kekurangan dana untuk meneruskan saingan pada musim ini sekali gus menyaksikan lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan ‘angkat kaki’ ke kelab lain.
Add Comment