Bola Sepak

Liga M 2022 : Pemenang Puskas kembali beraksi


Faiz mengakui ketika ini suasana agak berbeza dan bukan senang untuk terus serasi beraksi namun tekad membuktikan kemampuan.

PEMENANG  Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri yang teruja untuk kembali beraksi bersama Penang FC pada musim ini, mengakui perjalanan mencabar menantinya untuk mendapatkan kembali momentum dalam saingan kompetitif di Liga Super.

Pemain berusia 35 tahun yang dua tahun tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) berharap mampu mendapatkan momentum terbaiknya, memandangkan Penang FC mempunyai ramai pemain berkualiti bersaing untuk mendapatkan peluang beraksi.

“Banyak benda yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini kerana sepatutnya saya beraksi dalam Liga M3 terlebih dahulu, tetapi disebabkan pandemik COVID-19, saya terpaksa tangguh niat sehinggalah akhirnya musim ini dapat tawaran bersama Penang FC.

“Tapi saya perlu masa untuk bangkit semula sebab dua tahun tidak beraksi dalam liga kompetitif, apatah lagi tahap saingan Liga Super sangat tinggi.

“Sebelum ini, saya hanya berlatih sendiri sahaja di rumah, dan kali ini berlatih dalam satu pasukan, rasa suasana agak berbeza dan bukan senang untuk terus serasi”, katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dalam masa sama, Faiz yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Kumbang selama empat musim bermula 2015-2018, mahu membuktikan kudratnya masih berbisa untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya meraih satu piala pada musim ini.

Sebelum ini, Faiz menyertai kelab Liga M3 Northern Lions FC pada musim 2020, namun liga divisyen ketiga itu dibatalkan susulan pandemik, manakala hasratnya sekali lagi terjejas atas sebab sama selepas menyertai Kuala Kangsar FC pada musim lalu.- Bernama–


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: