
Oleh: SURYATI MOHD NOR
TAHUN baharu dengan kisah bola sepak tempatan yang mungkin ada sedikit kisah ‘segar’ selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan.
Sejak persembahan buruk skuad negara dalam kempen Piala AFF 2020 yang berakhir dua hari lalu di Singapura, media sosial tidak pernah sunyi dengan pelbagai permintaan daripada peminat-peminat bola sepak yang inginkan Cheng Hoe meletak jawatan sebagai bertanggungjawab ke atas prestasi skuad negara.
Dan ianya sudah berlaku hari ini apabila Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar memberitahu Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
Kini, ‘muka surat’ baharu dibuka dengan persoalan siapa pula pengganti Cheng Hoe?.
Pelbagai cadangan nama jurulatih turut dikongsi, termasuk salah seorang pengendali dari Australia Scott O’Donell yang kerap disebut-sebut.
Nama O’Donell,54, tidak asing lagi bagi bola sepak tanah air memandangkan dia pernah bergelar pemain bagi Kuala Lumpur FA pada tahun 1994-1995 sebelum meneruskan kerjayanya dalam bidang kejurulatihan.
Namun, O’Donell dikaitkan dengan posisi Pengarah Teknikal (PT) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dan pengumuman rasmi mengenai individu yang akan mengisi posisi itu pada Rabu ini.

Jika benar O’Donell dilantik sebagai PT, mungkinkah juga FAM akan menggunakan misi ‘serampang dua mata’ dengan melantiknya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya?.
Bagaimanapun ada juga laporan mendedahkan bahawa ketua jurulatih Bawah 23 Tahun Brad Maloney akan memangku tugas yang ditinggalkan Cheng Hoe itu.
Sebagai rekod, O’Donell cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak Singapura kerana pernah beraksi bersama kelab Liga-S, Tampines Rovers.
Selain itu, pernah menjadi jurulatih Geylang United pada tahun 2003 hingga 2005.
Selain menjadi jurulatih Geylang United, dia juga mempunyai pengalaman sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Kemboja pada tahun 2005 hingga 2010 sebelum menjadi Pengajar Kejurulatihan Akademi Bola Sepak India (AIFF).
Add Comment