Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Hadiah Tahun Baharu buat rakyat Thailand – Polking


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Thailand, Alexandre Polking mendedikasikan kejayaan menjulang Piala AFF 2020 kepada seluruh rakyat Thailand sempena tahun baharu.

Tegasnya, selepas tahun yang sukar, bola sepak masih merupakan peluang yang baik untuk menggembirakan orang ramai .

“Saya harap ini adalah hadiah Tahun Baru untuk semua orang di Thailand selepas masa sukar.

“Saya sangat gembira kerana kami menang tetapi juga kami menang dengan cara yang istimewa dan saya hanya perlu berterima kasih kepada semua orang daripada kakitangan, pegawai dan terutamanya kepada pemain.

“Ini adalah kejohanan berprestij dan kami sangat gembira kerana memenanginya tetapi kami tidak mahu berhenti di sini dan kemudian tidak mempunyai peluang dalam kelayakan Piala Dunia atau kelayakan Piala Asia.

“Kami mempamerkan beberapa detik cemerlang bola sepak, bertahan dengan baik apabila terpaksa dan mencipta peluang terbanyak dalam kejohanan jadi kami perlu membawa kepercayaan itu ke peringkat seterusnya sekarang,” ujarnya.

Pada aksi final kedua yang berlangsung malam tadi, Thailand ketinggalan pada separuh masa pertama hasil jaringan Ricky Kambuaya pada minit ke-7 sebelum bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua menerusi Adisak Kraisorn (m-54) dan Sarach Yooyen (m-56).

Indonesia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Egv Maulana pada minit ke-80 namun gagal menghalang kejuaraan menjadi milik Thailand.

Kemenangan yang diraih pada edisi ke-13 Piala AFF 2020 merupakan gelaran keenam buat Gajah Perang manakala Sang Garuda terus kempunan untuk bergelar juara selepas enam kali beraksi dipentas final.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: