Bola Sepak

Bersara… Mun Yee tetap curah khidmat buat pasukan terjun negara


Leong Mun Yee menceburi sukan terjun sejak berusia 10 tahun.

BEKAS penerjun negara Leong Mun Yee masih mempunyai tugas yang belum selesai dengan Persatuan Renang Malaysia (MS) walaupun telah secara rasmi bersara sebagai atlet terjun kebangsaan dua hari lalu.

Menurut Mun Yee, dia akan terus bersama MS bagi membantu penerjun muda di Bukit Jalil bermula minggu depan.

“Saya akan tetap bersama pasukan kerana MS telah meminta membantu mereka berikutan kekurangan jurulatih sehingga jurulatih baharu tiba tidak lama lagi,” kongsinya kepada Bernama.

Atlet kelahiran Ipoh, Perak ini mengakui tidak menyesal mengambil keputusan bersara daripada sukan terjun selepas hampir sepanjang usianya mencerusi acara ini.

“Kebanyakannya sebab saya ada sasaran sendiri. Saya juga tidak terfikir akan kekal dalam sukan ini selama 27 tahun. Saya rasa memang berbaloi (pengorbanan) ini,” jelasnya.

Malah Mun Yee,37, memberitahu dia akan memberi fokus untuk menamatkan pengajian Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam pada itu, Mun Yee juga berhasrat untuk menubuhkan akademi terjunnya sendiri yang kini dalam perancangannya.

Mun Yee membuat penampilan terakhir dalam kariernya pada Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu dengan bergandingan bersama Datuk Pandelela Rinong bagi acara 10 meter platform seirama wanita.

Sebagai rekod, Mun Yee yang menceburi sukan terjun sejak usia 10 tahun merupakan antara penerjun paling berjaya dengan meraih pingat termasuk perak pada Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa (Sukan Asia 2014, Korea Selatan) dan dua emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia juga mencipta sejarah dengan menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai atlet pertama wanita pertama layak ke empat Sukan Olimpik pada 2012.

Selain Mun Yee, hanya jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan pelayar Kelvin Lim yang merekodkan empat Sukan Olimpik setakat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: