Bola Sepak

Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam letak jawatan


Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Le Khanh Hai

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Le Khanh Hai mengambil keputusan meletakkan jawatan walaupun masih berbaki setahun untuk melengkapkan penggal lantikan sehingga 2022.

Perkhabaran disahkan sendiri oleh beliau sendiri kepada portal berita Vietnam, ZingNews pada hari ini.

Keputusan ini dibuat hanya lima hari selepas Vietnam tersingkir dari saingan Piala AFF 2020 kepada Thailand pada saingan separuh akhir dengan agregat 2-0.

Difahamkan Lembaga Pengarah Eksekutif VFF dilaporkan akan melantik Naib Presiden VFF, Tran Quoc Tuan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Le Khanh Hai sehingga tempoh pemilihan baharu kelak.

Sebelum ini Khanh Hai turut dikhabarkan akan meletak jawatan pada April lalu namun dinafikannya.

Sejak menjawat jawatan Presiden VFF untuk penggal 2018-2022, bola sepak Vietnam telah mencapai pelbagai kejayaan. Antaranya pasukan kebangsaan negara tersebut berjaya mara sehingga suku akhir Piala Asia pada 2019.

Buat pertama kali Vietnam turut berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022, dan skuad B-23 juga melayakkan diri ke pusingan akhir AFC B-23 pada 2022.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: