Bola Sepak

“Selagi ‘material’ tak lengkap, Harimau Malaya akan terus ketinggalan”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

SEMINGGU berlalu, kegagalan pasukan Harimau Malaysia di pentas Piala AFF Suzuki 2020 masih lagi menjadi topik hangat peminat-peminat bola sepak tanah air.

Kekecewaan dengan prestasi tidak seperti yang diharapkan oleh peminat-peminat bola sepak menjadikan badan induk bola sepak negara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jurulatih dan pemain-pemain antara subjek kritikan di pelbagai platform media sosial.

Selain FAM, sudah tentu antara individu utama yang menjadi ‘target’ adalah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Namun bagi Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim memberitahu, sebenarnya pasukan negara tidak pernah belajar daripada kegagalan skuad negara ketika beraksi dalam sebarang kejohanan penting.

“Semua orang boleh mengkritik dan bagi pandangan tetapi sehingga hari ini ada tak sesiapa yang menawarkan diri untuk memajukan pasukan negara?

Dr Zulakbal Abd Karim

“Pada pendapat saya, bola sepak bukan bergantung kepada seorang individu sahaja kerana dalam sesebuah pasukan perlu ada pelbagai ‘material’.

“Kalau coach bagus, pemain tak bagus tak cukup juga. Kalau coach bagus, pemain bagus… tapi tak cukup persiapan pun tak lengkap juga.

“Kalau coach, pemain, persiapan bagus tetapi tak ada sokongan daripada pengurusan… pun akan jadi tak lengkap.

“Dan kalau coach bagus, pemain bagus, pengurusan bagus, tetapi tiada sokongan daripada penyokong-penyokong, ia juga akan jadi tidak lengkap.

“Malah ilmu sains sukan juga perlu ada, statistik prestasi seseorang pemain dan sebagainya.

“Jadi material mana yang kita tidak cukup sekarang?,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Dalam pada itu, Dr Zulakbar memberitahu, tidak ada guna hanya banyak berbincang, sebalik perlu meneliti apa yang patut dibuat.

Tan Cheng Hoe

“Tahun depan kita ada Sukan SEA. Sebelum ini (2019) kita gagal ke separuh akhir. Kita juga akan berdepan dengan Pusingan Akhir Piala Asia B-23. Jadi apa pula persiapan kita untuk tahun depan?

“Selain siasat, kita perlu melakukan atau mengambil pengajaran supaya ia tidak lagi berlaku.

“Sebenarnya jurulatih-jurulatih di negara kita tidak ketinggalan dan selalu ‘update’ dengan taktikal dan sebagainya. Tetapi ada sesuatu yang masih tidak tahu apa masalahnya.

“Dan saya tidak nafikan seseorang jurulatih itu memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan sesebuah pasukan,” tambahnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: