
Oleh : SUBKHI SUDARJI
TEERASIL Dangda pemain yang pastinya menjadi tumpuan pemain dan juga penyokong Indonesia apabila mereka akan berhadapan pada pentas akhir Piala AFF 2020.
Pemain berusia 33 tahun ini turut menjaringkan satu gol pada pentas final pertama 2016 yang membantu pasukannya meraih gelaran kejuaraan kali kelima untuk menewaskan Indonesia dengan agregat 3-2.
Beraksi bersama kelab BG Pathum United, penyerang yang telah meledak empat gol pada kejohanan kali ini berkongsi selaku penjaring terbanyak bersama Safawi Rasid (Malaysia) dan Bienvenido Maranon (Filipina).
Daripada enam perlawanan yang telah dilalui Thailand dalam perjalanan ke final, Dangda hanya beraksi menentang Singapura sebagai pemain simpanan dengan lima lagi aksi diletakkan selaku kesebelasan utama.

Tiga gol yang dihasilkan Dangda ketika pemain berkenaan berada dalam kotak penalti manakala satu lagi gol diluar jelas memperlihatkan ketajaman penyudah pemain ini.
Pemain bola sepak Thailand yang dibawa Thaksin Shinawatra ke Manchester City itu turut menunjukkan pengaruhnya bukan sekadar di barisan hadapan malah dapat membantu barisan pertahanan sebagaimana dijelmakan pada aksi menentang Vietnam malam tadi.
Gajah Perang ketika ini mempunyai tokoh seperti Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat, kedua-duanya telah menjaringkan dua gol dalam Piala AFF 2020. Namun aksi Dangda, penjaring terbanyak Piala AFF sepanjang zaman dengan 19 gol, masih perlu diperhatikan dengan teliti oleh Indonesia andai tidak mahu keputusan lama berulang.





Add Comment