Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Pengendali Singapura luah perasaan selepas anak didiknya tewas


Oleh : SUBKHI SUDARJI

KETUA jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida menyifatkan persembahan anak didiknya pada aksi separuh akhir kedua menentang Indonesia malam tadi merupakan aksi terbaik dipamerkan sejak mengemudi Singapura, Mei 2019.

Menerima kekalahan dengan hati yang terbuka, Yoshida bangga dengan sikap pemain walaupun kekurangan pemain namun tetap memberikan tentangan sengit buat Indonesia.

“Walaupun kami kehilangan beberapa pemain [ekoran kad merah], kami tidak berputus asa dan saya terharu dengan semangat juang ditunjukkan oleh mereka.

“Sebelum perlawanan, saya bercakap kepada mereka bahawa ‘anda tidak boleh mensia-siakan peluang untuk bergelar finalis’ dan mereka menjawabnya dengan menunjukkan persembahan sedemikian.

“Ini merupakan persembahan terbaik mereka sejak saya mula bergelar jurulatih Singapura [Mei 2019]. Saya berasa cukup gembira dapat bekerja dengan mereka dan saya berbangga dengan mereka.”

“Mentaliti tidak berputus-asa ini adalah merupakan perkara yang penting. Kami menunjukkan bahawa kami boleh meningkat, menjadi lebih kuat dan membawa bola sepak Singapura di tahap lebih tinggi.” ujarnya dipetik menerusi laporan laman sesawang rasmi Persatuan Bolasepak Singapura.

Pada masa sama Yoshida menerima segala keputusan yang diambil pengadil perlawanan dari Oman, Qasim Matar Ali Al Hatmi walaupun dilihat tidak memihak pasukannya.

“Keputusan pengadil adalah muktamad. Sekiranya dia mengatakan itu adalah kesalahan, ia merupakan kesalahan. Sekiranya dia mengatakan kad merah, ia adalah kad merah. Kami perlu menerimanya.

“Itu adalah bola sepak. Walaupun sekiranya ia satu keputusan yang sukar untuk diterima, kami tetap perlu untuk menerimanya,” tegasnya

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: