BENCANA banjir yang berlaku di beberapa buah negeri sejak Sabtu lalu turut melibatkan keluarga penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid selepas rumahnya di Kuantan dinaiki air sejak tiga hari lalu.
Pemain berusia 32 tahun ini yang baru pulang dari Singapura Selasa (semalam), bersama skuad kebangsaan mengakui hatinya tidak tenteram tatkala situasi banjir yang kian membimbangkan tempoh hari apatah lagi berada jauh daripada keluarga.
Namun, perkhabaran terkini daripada adik beradik memberi sedikit kelegaan selepas kesemua ahli keluarga termasuk ibunya telah pun berpindah ke tempat yang lebih selamat dan paras air juga sudah mulai surut.
“Memang rasa tidak senang hati bila fikir keadaan mereka dekat Kuantan, dan saya pula jauh , jadi hanya menunggu perkhabaran daripada adik-beradik sahaja untuk tahu apa yang berlaku.
“Alhamdulillah semua dalam keadaan baik, dan sekarang semua tengah bergotong-royong membersihkan rumah, tiada barang berharga yang musnah, cuma motosikal yang saya tumpangkan di rumah kawan di Kuala Lumpur pula tenggelam.
“Rasanya bulan ini penuh dugaan dengan saya positif Covid-19 sebelum ini dan dengan ditimpa bencana seperti ini pula, tapi Alhamdulillah semuanya beransur pulih,” katanya.
Terdahulu, kejadian banjir teruk telah menimpa beberapa kawasan termasuk di Shah Alam dan Kuantan sejak beberapa hari lalu sehingga memusnahkan kediaman dan harta benda.
Sementara itu, sepanjang di Singapura, Khairulazhan tidak sempat beraksi memandangkan sejak tiba di sana dia disahkan positif Covid-19. Namun selepas dua perlawanan, Khairulazhan bersama tiga orang lain rakan senegara (Akhyar Rashid, Quentin Cheng dan Faisal Halim) diuji negatif selepas menjalani kuarantin.
Add Comment