PERSATUAN Sukan Elektronik dan Rekreasi Vietnam (VIRESA) mengumumkan pertandingan eRacing GP akan dipertandingkan di dalam Kejuaraan eSports Asia Tenggara (SEA EC) pada bulan Januari 2022. Pertandingan ini akan dikenali sebagai Z-Challenger eRacing GP oleh RaceRoom.
VIRESA sebelum ini mengumumkan permainan seperti League of Legends: Wild Rift, Valorant dan PUBG Mobile turut dipertandingkan sebagai acara berpasukan sementara eRacing GP acara individu.
Setiausaha Agung VIRESA, Viet Hung Do menegaskan bahawa pihaknya menyasarkan untuk mempelbagaikan pertandingan sukan elektronik bagi merancakkan lagi pembangunan sukan digital tersebut termasuk permainan simulator.
“Ia perlu bagi menjadikan VIRESA relevan seiring era revolusi industri 4.0. Melalui penglibatan e-Racing, VIRESA dan persatuan serantau berhasrat memberi pengalaman yang berbeza buat peminat sukan ini,” tambahnya.
Bekas jaguh formula 1 negara yang juga pengasas eRacing GP, Alex Yoong berkata, kami berbesar hati kerana dapat menyertai kejuaraan SEA EC ini. Kami juga berbangga kerana terus dapat bekerjasama dengan RaceRoom yang merupakan platform simulator terkemuka di rantau ini yang juga telah melahirkan ramai pelumba-pelumba baharu.
Carta eRacing GP di platform RaceRoom bagi kejuaraan SEA EC akan dibuka bermula 24 Disember ini sehingga 2 Januari 2022.
“Platform RaceRoom ini terbuka untuk semua peminat dan mereka digalakkan untuk mendaftarkan diri melalui platform ini. Peserta yang berjaya mara ke final akan beraksi di pentas Piala Cabaran pada 2022,’ tambah wakil Race Room, Jason Chong.
2 peserta terbaik dari setiap negara Asia Tenggara akan bersaing di peringkat akhir pada 9 Januari 2022 di mana format individu dan berpasukan akan digunakan. Mereka akan menggunakan jentera Z-Challenger Audi RS3 dengan warna negara masing-masing di dalam tiga pusingan perlumbaan.
Pemenang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah 10,000$ dan aksi pusingan akhir boleh disaksikan di eGG Network.
Add Comment