
PRESIDEN Majls Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak bersetuju dengan penetapan baharu Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung kedudukan atlet dalam program latihan sepenuh masa bermula tahun depan.
Beliau berkata, pihak terlibat perlu melihat kepada semua aspek secara holistik di samping memulakan proses pembinaan semula sukan negara yang terjejas pascapandemik Covid-19 sebelum melaksanakan penetapan baharu itu.
“Ia perlu dikaji semula dan kajian mesti memberi peluang kepada semua atlet yang ada untuk kembali semula dan bertanding selepas krisis pandemik ini berlalu,” jelasnya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan MSN sebelum ini yang menetapkan pencapaian di peringkat kejohanan tertinggi sejak 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan kendalian MSN bermula 2022.
“Kalau kita cakap pasal pencapaian pun, kita tiada pencapaian tahun sebelum ini disebabkan pandemik, jadi penanda arasnya belum ada lagi,” jelasnya sambil menyifatkan pencapaian dari 2019 itu adalah terlalu lama untuk dijadikan penanda aras.
Add Comment