Bola Sepak

Liga Mini Football Kebangsaan tahun depan


Para pemain mendengar penerangan berhubung sukan mini football sebelum aksi demonstrasi di Stadium Mini Peremba Alor Setar pada Sabtu. Foto: AMMAR HAZIQ

Oleh: AMMAR HAZIQ

LIGA Mini Football Kebangsaan (MFK) dijadualkan diadakan pada tahun 2022 namun masih tertakluk kepada perkembangan Covid-19 di negara ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Mini Football Malaysia (MIFOM), Datuk Yap Nyim Keong.

MIFOM yang baharu sahaja mengadakan Mesyuarat Agung Khas (AGM) pada April lalu kini dalam perancangan untuk memperkenalkan dan mempromosikan sukan tersebut di seluruh negara.

Menurutnya, Kedah menjadi destinasi pertama taklimat dan promosi yang diadakan kepada wakil-wakil dari seluruh negeri yang dianjurkan oleh MFK.

“Kita mempunyai perancangan mengadakan liga mini football di peringkat kebangsaan pada tahun 2022. Bagaimanapun disebabkan oleh keadaan Covid-19 sekarang, MIFOM perlu berjaga-jaga dan taklimat serta promosi diadakan secara berperingkat di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Sabtu lalu.

Nyim Keong berkata, pihaknya menghargai usaha MFK yang menjadi negeri pertama menganjurkan program taklimat dan promosi sukan tersebut kepada wakil-wakil daerah di negeri Kedah.

Jelas beliau, selain Kedah beberapa negeri lain juga sudah pun mendaftar menjadi ahli gabungan di bawah MIFOM selain turut mendapat perhatian daripada pihak Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mahu sukan tersebut dipromosikan di peringkat pengajian tinggi.

“Selain Kedah yang merupakan negeri pertama yang menjadi ahli gabungan pertama MIFOM, negeri lain seperti Perak, Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan juga turut mendaftar dan terbaharu adalah Selangor yang menyatakan hasrat yang sama.

“Sukan Mini Football ini juga mendapat perhatian pihak IPTA yang mahu turut diperkenalkan di universiti-universiti kerana corak permainan yang mudah seperti bolasepak dan juga futsal,” katanya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment