Bola Sepak

Piala AFF 2020: Thailand buntu pilih pemain berdepan Vietnam


Oleh: AMMAR HAZIQ

JURULATIH Gajah Perang, Alexandre Polking kini buntu memikirkan kesebelasan utama terbaik pasukan tersebut untuk diturunkan pada aksi separuh akhir bertemu Naib Juara Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2020.

Thailand menepati sasaran melengkapkan 12 mata milik mereka selepas mengatasi pasukan tuan rumah, Singapura 2-0 pada perlawanan akhir kumpulan sekaligus mencatatkan empat kemenangan bersih  Sabtu lalu  dan meletakkan mereka muncul juara Kumpulan A.

Dua jaringan pada babak pertama menerusi Elias Dolah dan Supachai Jaided cukup untuk menewaskan Singapura sekaligus bergelar juara kumpulan.

Polking berkata, 30 pemain yang dibawa pada kali ini ke Kota Singa menunjukkan persaingan yang sihat di antara satu sama lain dan berjaya memberikan komitmen pada semua perlawanan semasa diturunkan.

Menurutnya, selepas berjaya mara ke kelompok empat pasukan terbaik, semua pemain perlu kembali fokus kepada matlamat untuk melepasi separuh akhir dan mara ke final pula.

Alexandre Polking

“Saya sangat kagum dengan persembahan semua orang sehingga saya tidak tahu pada perlawanan seterusnya siapa yang kita akan letak di padang kelak.

“11 orang pemain yang berkesempatan diturunkan (pada aksi bertemu Singapura) telah menunjukkan mereka boleh mengalas tugas yang diberikan. Kami perlu menghargai usaha yang ditunjukkan oleh pemain kami,” katanya seperti yang dipetik melalui Facebook FA Thailand pada Ahad.

Polking berkata, pasukannya berhak untuk meraikan kejayaan muncul juara Kumpulan A buat sementara waktu namun perlu kembali fokus dan menjalani latihan keras bagi aksi separuh akhir kelak.

“Dengan kejayaan ini, kita harus meraikan sehari sahaja kerana selepas ini kerja keras menanti semua pemain di peringkat separuh akhir bertemu Naib Juara Kumpulan B,” ujarnya.

Pada aksi separuh akhir pertama Thailand akan menentang Vietnam yang bergelar naib juara Kumpulan B pada Khamis ini manakala aksi separuh akhir kedua diadakan pada malam Ahad.

Manakala satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan Indonesia bertemu tuan rumah, Singapura.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: