Bola Sepak Hoki

MIHL : DBKL HT rangkul kejuaraan sulung


Barisan pemain DBKL HT meraikan kejayaan menjulang kejuaran sulung MIHL 2021.

DBKL HT menjulang kejuaraan edisi sulung Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) 2021 selepas menundukkan MOHC 3-1 pada perlawanan akhir wanita yang berlangsung di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim hari ini.

DBKL HT yang sebelum ini di kedudukan teratas saingan kumpulan, menepati status sebagai pasukan pilihan dengan kemenangan selesa yang menyaksikan ketua pasukan Nuraini Abdul Rashid sekali lagi mengemudi kejayaan pasukan bandaraya itu yang berjaya muncul juara biar pun penguasaan perlawanan lebih memihak kepada MOHC.

Jaringan awal Nuraini menerusi tolakan sudut penalti pada minit ke-7 nyata menyuntik semangat buat DBKL HT yang bermula garang dengan corak permainan yang tersusun.

MOHC cuba bangkit pada suku kedua dengan gerakan serangan balas pantas tetapi DBKL HT dilihat ampuh bertahan selain bijak mencuri peluang dengan Nor Izaidah Ibrahim berjaya melebar jurang jaringan pada minit ke-16.

MOHC sedaya upaya cuba merapatkan kedudukan dan ini terbukti dengan jumlah sembilan pukulan penalti sudut yang diperolehi sepanjang permainan selain 27 circle penetration berbanding 19 oleh DBKL HT.

DBKL HT terus meningkatkan intensiti pemainan selepas separuh masa untuk melebarkan lagi jurang jaringan hasilnya, Qasidah Najwa Muhammad Halimi berjaya menterjemahkan percubaan dari pukulan sudut penalti pada minit ke-28 untuk memberikan kelebihan selesa kepada DBKL HT.

MOHC tidak berputus asa dan usaha untuk merapatkan jurang terhasil apabila Nur Syafiqah Mohd Zain berjaya mejaringkan gol saguhati pada minit ke-34 dan kedudukan 3-1 berpihak DBKL HT kekal menutup perlawanan.

Terdahulu, perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA meraih kedudukan ketiga selepas menewaskan Wipers 3-2.

SENARAI PEMENANG (WANITA)

Johan: DBKL HT

Naib Johan: MOHC

Ketiga: Mutiara Impian – MSSPP – PSHA

Fairplay: CS Mustang

Penjaring Terbanyak: Nuraini Rashid (22 gol)

Pemain Terbaik Final: Farah Ayuni Yahya (DBKL HT)


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: