Bola Sepak

MFL-FAM lebih perlu bertanggungjawab – Lim Teong Kim


Barisan Harimau Malaya menentang pasukan Indonesia.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

AKSI mengecewakan skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 masih terus diperkatakan.

Jelas sekali pengendali pasukan Tan Cheng Hoe menjadi subjek utama penyokong-penyokong tanah air berikutan kegagalan mengatur strategi dan taktikal yang baik sekaligus mengundang padah tersingkir dalam dalam peringkat kumpulan.

Namun bagi bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Lim Teong Kim, kegagalan itu skuad negara ini tidak boleh diletakkan seratus peratus di bahu jurulatih dan juga pemain.

“Saya juga menonton aksi Malaysia-Indonesia dan nampak jelas sekali taktikal individu gagal dan tidak tahu tanggungjawab posisi sebenar setiap pemain. Pada awal permainan saya nampak mereka bermain dengan baik namun selepas Indonesia menyamakan kedudukan corak permainan semakin menurun.

“Tempo permainan lawan yang laju kerana rata-rata pemain muda kepercayaan daripada jurulatih mereka. Sebaliknya skuad negara yang saya lihat sudah tua dan lembab. Kapten (Baddrol Bakhtiar) tidak menjalankan tugas dengan baik, dia hanya pandang bola sahaja, tidak memberi inspirasi kepada rakan sepasukan. Saya dulu ketika muda kalau di atas padang malas berlari, mesti sudah kena maki dengan pemain senior (Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun). Tetapi ia tidak berlaku sekarang.

“Pemain-pemain digelar’star’ oleh media sama ada tidak berani tegur atau tidak boleh ditegur, saya tidak tahu. Jika cara mereka begitu, ia adalah kerana media yang memainkan peranan sebenar sama ada pemain itu layak digelar pemain antarabangsa atau hanya pemain tempatan. Pemain seperti Safawi Rasid dan Arif Aiman memang bagus, tetapi hanya untuk liga tempatan sahaja,” jelasnya kepada Cakap Sukan.

Aksi pemain muda Arif Aiman. Foto: FAM

Namun menurut Teong Kim itu bukan masalah utama skuad kebangsaan kerana perkara paling perlu diberi fokus adalah konsistensi pemain di atas padang.

“Saya ada dengar pasukan negara tidak cukup masa untuk berlatih bersama. Ia tidak boleh salahkan jurulatih kerana ia akan membawa kita lihat kembali jadual Liga Malaysia. Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mungkin fikir Liga-M ini seperti di Eropah (pemain-pemain liga kembali ke skuad kebangsaan tiga empat hari sebelum perlawanan).

“MFL sebenarnya silap kerana liga kita tak setinggi seperti di Eropah. Ini satu kebenaran. Dan kebenaran ini boleh dilihat ketika aksi bertemu Indonesia.

“Kalau kurang daripada seminggu berlatih kenapa tahap kecergasan mereka tidak boleh bersaing dengan Indonesia. Cara larian dan agresif pemain negara hanya standard untuk bermain di liga sahaja.

Lim Teong Kim

“Adakah MFL tak tahu Piala AFF ini berlangsung pada Disember? Mengapa mesti menyusahkan persiapan negara? Dan paling penting adakah MFL dan FAM tidak berbincang dahulu? Dan di sini jurulatih mesti salah kerana tidak bertegas untuk minta tempoh latihan sendiri. Bukan seperti ini.

“Sekarang semua maki jurulatih,” jelas Teong Kim.

Bola sepak Malaysia makin menjunam

Dalam pada itu, Teong Kim memberitahu dia berani memberi pandangan dan idea kerana dirinya juga sayangkan bola sepak Malaysia seperti mana seluruh penyokong tanah air.

“Bola sepak Malaysia perlu mempunyai seorang presiden yang mempunyai visi dan bukannya syok sendiri.

“Bermula dari liga tempatan, selagi ada kuota lima pemain import, saya percaya bola sepak negara akan terus mundur dan akan ‘hangus’.

“Kita tidak boleh mengikut kelab luar negara kerana mereka mempunyai lapisan pembangunan dalam setiap kelab. Tetapi di Malaysia, apa yang saya nampak hanya JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Terengganu FC sahaja yang mempunyai program baik.

“Sesetengah kelab di Eropah (Top 3) sasaran mereka ke layak Liga Juara-Juara, dan ke Liga Europa, manakala bagi pasukan yang tidak layak akan bermain mengekalkan kedudukan dalam Bundesliga sambil mencungkil bakat-bakat pemain dan ‘menjualnya. Sebaliknya kelab-kelab di Malaysia hanya fikirkan liga sahaja.

Tan Cheng Hoe

“Sepatutnya untuk ‘team feeder’ tidak perlu ada pemain import. Ini boleh membunuh bola sepak remaja kerana mereka tidak diberi peluang untuk bermain. Di mana lagi mereka perlu bermain untuk mendapat minit permainan, pengalaman, keyakinan dan sebagainya.

“Tetapi itulah, jika pemimpin bola sepak negara masih dikelilingi orang-orang yang tak faham bola sepak, akhirnya jadi ‘pi mai pi mai tang tu’,” tambahnya.


3 Comments

Click here to post a comment

Leave a Reply

  • hentikan naturalisasi …amik je pemain tempatan…amik de Paula…tapi atas padang macam Paula Abdul…mmm

    • Paling malang kpd bolasepak Malaysia ialah fans/peminat yg bodoh & tidak tahu menilai. Menuntut pasukan bermain seperti Liverpool, Chelsea & Man City yang sentiasa menang kejuaraan peringkat tertinggi; sedangkan barisan pemain yang ada (untuk dipilih) hanya level Divisyen Ketiga atau Keempat sahaja.

      Fans yang bodoh & tidak tahu menilai inilah yang meletakkn tekanan bukan-bukan kepada pasukan & mnjadikan coach sebagai sasaran. Apa yang coach boleh buat sekiranya taktik atas kertas tidak dapat dijelmakan di atas padang (kerana pemain slow, lembab & pemalas) ??

      Sudah tiba masanya fans menerima hakikat “our pool of players are not good enough” dan berhenti mengecam & memaki coach.

  • Semua orang dari jurulatih hingga ke pemain bertanggungjawab ke atas kekalahan pada Indonesia,strategi dan taktikal Malaysia senang di baca pihak lawan.walaupun skuad Indonesia itu lebih muda jika dibandingkan dengan skuad Malaysia jika strategi serta taktikal berbeza diterapkan saya lihat Indonesia sukar atau tidak mungkin akan menang.Alasan yang diberikan jurulatih tetap sama bunyinya,ambil tanggungjawab letak jawatan dan beri peluang pada orang lain.

%d bloggers like this: