Olahraga

KOM senarai persiapan sebelum ke Sukan SEA Hanoi


Aksi atlet-atlet berlari dalam cuaca hujan acara 100m lelaki Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021 di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Sabtu lalu. Foto: Bernama

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) merancang untuk menyediakan sekurang-kurangnya tiga kejohanan kepada atlet sebagai persediaan ke Sukan SEA Hanoi pada Mei depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Mumtaz Jaafar berkata, sekiranya keadaan mengizinkan, atlet-atlet akan dihantar bertanding di kejohanan luar negara bagi memastikan mereka mendapat pendedahan dan persaingan terbaik menjelang temasya dwitahunan itu.

“Kita mungkin akan anjurkan satu lagi kejohanan tertutup sebagai persediaan manakala kejohanan luar negara bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 kerana ada negara yang tidak bagi kita masuk. Tapi kejohanan luar memang dalam program.

“Sekiranya tidak dapat menyertai kejohanan luar, kita akan adakan beberapa kejohanan di sini. Mungkin kita akan jemput atlet dari satu atau dua negara untuk bertanding dengan atlet negara,” katanya kepada Bernama selepas berakhirnya Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021 pada Ahad.

Dalam pada itu, Mumtaz turut meluahkan rasa puas hati dengan prestasi dan semangat juang para atlet yang beraksi pada kejohanan berkenaan walaupun sepanjang sesi hari pertama pada Sabtu dijalankan dalam keadaan hujan.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan atlet ke Sukan SEA akan disenarai pendek dalam masa terdekat supaya persiapan dapat dimulakan dengan kemungkinan besar skuad kali ini dibarisi atlet senior dan pelapis.

“Kita belum muktamadkan lagi pemilihan, tapi kalau ikut had kelayakan catatan pingat gangsa Sukan SEA 2019, saya rasa memang ramai yang layak. Kewangan pun kita harus berjimat pada kali ini,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: