Olahraga

Kalendar 2022 yang begitu padat dengan acara sukan – Dr Pekan


Dr Pekan menyifatkan 2022 merupakan tahun yang padat dengan kejohanan sukan dalam dan luar negara. (Foto : AHMAD KHAIRUL AKMA)

Oleh : SUBKHI SUDARJI

TAHUN 2022 merupakan tahun yang begitu padat buat arena sukan negara dengan tiga temasya besar utama iaitu Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Sea menanti peserta.

Dalam masa sama penyertaan Malaysia dalam dua lagi temasya yang disertai atlet universiti iaitu Sukan Universiti Dunia (Universiade) dan Sukan Universiti Asia (AUG) menjadikan situasi ‘tenat’ bagi pemilihan kelompok atlet bagi dua pecahan utama itu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Kementeria Pengajian Tinggi (KPT), Dr Pekan Ramli berkata, Bahagian Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)  akan berbincang dan merancang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan pembahagian atlet bagi lima temasya besar itu.

“Memang satu situasi yang mencabar, bukan sekadar mempersiapkan kontinjen tetapi kita juga ada atlet yang akan digunakan oleh MSN untuk persiapan Sukan Asia, Komanwel dan Sukan SEA.

“Kita pula ada tiga temasya besar, dua antarabangsa iaitu Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China sekitar Julai dan satu lagi Sukan Universiti Asia (AUG) di Ubon Ratchathani, Thailand pada Ogos.

“Jadi dua ini pun sudah menyebabkan kita sedikit sibuk tetapi bagi kami ia sesuatu yang mencabar kerana kita nak sediakan kontinjen dengan atlet yang kita katakan perlu untuk tahu di mana puncak prestasi mereka.

“Kita tah boleh melihat atlet kita capai prestasi puncak setahun sampai dua tiga kali. Jadi kena rancang betul dengan MSN, atlet yang yang boleh dilepaskan untuk sertai kontinjen kita dan atlet mana pula yang perlu kita korbankan untuk mewakili kontinjen negara di Sukan Asia, Komanwel dan Sukan SEA.

“Jadi itulah kekangan bagi tahun 2022. Terlalu padat, kalendar yang padat, masa yang dekat dan pelarasan atlet yang mungkin agak kritikal sedikit,” katanya.

Dalam masa sama, Dr Pekan memberi bayangan, kontinjen negara di Universiade bakal menyertai tujuh acara sukan manakala AUG dalam anggaran 27 hingga 29 acara.

“Daripada tujuh ini (di Universiade), empat adalah sukan yang memberikan potensi pingat kepada kita. Antaranya wushu. Kita juga mengharapkan Nur Dhabitah Sabri (atlet terjun) akan dilepaskan mewakili kontinjen univerisiti Malaysia, kita juga menaruh harapan juga dalam sukan badminton.

“Pencapaian terbaik kita di Universiade, tiga perak dan empat gangsa di Taipei 2017 dan di Napoli 2019, kita menghantar kontinjen kecil dan mencapai sasaran satu pingat.

“Namun untuk Universiade kali ini, mungkin kontinjen lebih besar dengan tujuh acara, anggaran dalam 50-60 atlet. Untuk AUG, kita tetap akan menghantar kontinjen besar di Ubon Ratchathani. Kontinjen boleh sampai sehingga 300 atlet dan pegawai kerana kita akan sertai lebih kurang 27 atau 29 acara,” katanya.

Selain dua temasya antarabangsa itu, kalendar sukan universiti Malaysia turut dijadual menganjurkan Sukan IPT (SUKIPT) sekitar Ogos atau September tahun depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading