Olahraga

Projek B10 dilancar, dijangka lahirkan ‘manusia’ terpantas negara


Projek B10 dijangka bermula Februari 2022.

SATU lembaran baharu buat sukan olahraga negara apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif khas melancarkan projek larian 100 meter bawah 10 saat atau dikenali sebagai Projek B10.

Projek khas ini merupakan satu daripada Program Bitara KPT yang disifatkan berimpak tinggi dan mempunyai tempoh waktu sasaran yang lebih panjang antara satu hingga lima tahun.

Pelaksanaan projek ini mampu meningkatkan visibiliti Kementerian serta rakan-rakan strategik seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Noraini yakin projek ini bakal memberi lembaran baharu kepada sukan olahraga negara.

“Walaupun ini suatu cabaran yang sukar, namun saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari dengan keupayaan luar biasa melalui bimbingan terbaik serta kepercayaan tinggi yang diberikan oleh KPT. Kalau boleh kita mahu jadi negara yang pertama di Asia Tenggara berjaya memecahkan tembok halangan ini.

“Projek ini sangat istimewa kerana ia hanya memberi fokus satu disiplain acara sukan sahaja dan akan dirancang dan dilaksanakan dengan teliti dalam tempoh lima tahun agar matlamat berjaya dicapai.

“Empat modul latihan utama yang ditekankan adalah pentadbiran dan kewangan, insentif dan media, promosi serta  hubungan strategik. Kesemua ini akan digerakkan dengan sokongan lain daripada  pelbagai agensi,” jelas Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika berucap pada Majlis Pelancaran B10 secara atas talian di Facebook Rasmi KPT pada Jumaat.

Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pelari pecut negara dan jurulatih pecut kebangsaan.

“Saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari di bawah masa sepuluh saat sekiranya mendapat bimbingan yang baik dan diberikan tumpuan khas,”  jelas bekas pemegang rekod kebangsaan Watson Nyambek.

Sementara itu Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil turut yakin bahawa dengan kemampuan jurulatih-jurulatih pecut kebangsaan yang ada, diperkukuhkan lagi dengan bimbingan oleh bekas-bekas pelari pecut negara, tidak mustahil negara mampu melakar sejarah menerusi acara riben biru ini.

Pemilihan pelatih-pelatih untuk ditempatkan dalam projek ini dijangka bermula pada bulan Februari 2022 dengan had umur 18 hingga 22 tahun. Pelatih-pelatih juga perlu melepasi empat ujian utama yang ditetapkan.

Setiap pelatih akan menjalani tempoh latihan antara satu hingga lima tahun dan akan menerima elaun bulanan sepanjang berada dalam program khas ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: