Olahraga

Isu penyelewengan: “Percubaan tidak bertanggungjawab, berniat buruk”


SM Muthu

KEMELUT kepimpinan dalam Persatuan Olahraga Selangor (POS) terus hangat apabila Datuk SM Muthu mendakwa beliau masih presiden persatuan itu yang sah.

Malah, Muthu yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendakwa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) POS pada Ahad yang menyingkirkan beliau daripada jawatan Presiden POS dan menarik balik keahlian seumur hidupnya berkaitan dakwaaan berlakunya penyelewengan dana sebanyak RM110,000 adalah tidak sah.

Muthu mendakwa EGM itu juga tidak sah kerana dihadiri oleh individu bukan ahli serta Perlembagaan POS tidak membenarkan penyingkiran mana-mana pemegang jawatan melalui EGM.

“Dakwaan yang saya kononnya menyeleweng dana POS adalah fitnah, satu percubaan yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk memburukkan nama saya. Setahu saya, wang itu berada dalam akaun bank POS.

“Usaha ini dibuat bagi menghalang saya mempertahankan jawatan pada pemilihan ketika Mesyuarat Agung Tahunan POS pada 7 November ini,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada petang Isnin.

Sementara itu, Peseuruhjaya Sukan Ibrahim Yusof ketika dihubungi berkata beliau masih belum menerima apa-apa laporan daripada kedua-dua pihak manakala kesahihan EGM juga masih belum disahkan.

“Kita perlu semak dan teliti proses EGM dibuat sama ada mengikut perlembagaan atau tidak. Dalam perlembagaan POS, hanya pemilihan sahaja tidak boleh dibuat (dalam EGM), yang lain-lain tidak disebut.

Menurut Fasal 13 Perlembagaann POS, surat tunjuk sebab perlu dikemukakan sebelum pemecatan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib. Sama ada tindakan ini (penyingkiran) teratur atau tidak, kita perlu semak dan teliti perlembagaan POS,” katanya.- Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: