Bola Sepak

Piala AFF 2020: Thailand juara Kumpulan A, jurulatih Singapura mahu menangis


Pemain-pemain Thailand merai kemenangan ke atas Singapura. Foto: AFF

Oleh: SURYATI MOHD NOR

THAILAND memberi amaran awal dengan menguasai Kumpulan A selepas menewaskan tuan rumah, Singapura 2-0 di Stadium National Sabtu malam.

Dua jaringan pada babak pertama menerusi Elias Dolah dan Supachai Jaided cukup untuk menewaskan Singapura sekaligus bergelar juara kumpulan.

Jurulatih Gajah Perang Alexandre Polking dilihat mengatur strategi bijak memastikan perancangannya berjalan lancar.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan dan strategi yang kami buat.

“Kami sedar, sesuatu yang berisiko kerana membuat pertukaran pemain terlalu ramai tetapi mereka telah berusaha keras ketika latihan dan berhak diberi peluang, malah ia memberi sesuatu yang segar untuk separuh akhir nanti,” jelasnya selepas perlawanan.

Ketika Thailand rancak menukar pemain-pemain utama, Singapura dilihat buntu dengan taktik permainan selepas Shakir Hamzah terpaksa dikeluarkan pada minit ke-12 kerana kecederaan.

“Kami dalam ‘perjalanan’ biarpun bukan pasukan top, tetapi kami ke separuh akhir untuk kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

“Jika ada apa-apa yang dipersalah ia sepatutnya kepada saya. Saya bukan Pep Guardiola. Saya Tatsuma Yoshida dari Jepun tetapi saya bangga dengan Singapura. Saya sayang Singapura dan sekarang saya mahu menangis.”

Perlawanan terakhir Kumpulan A ini menyaksikan Thailand dan Singapura mara ke separuh akhir dan masih menunggu lawan mereka pada esok menjelang baki perlawanan Kumpulan B iaitu Malaysia bertemu Indonesia dan Vietnam menentang Kemboja.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: