
Oleh : SUBKHI SUDARJI
THAILAND mahu menamatkan aksi Kumpulan A, Piala AFF 2020 dengan rekod tanpa kalah menjelang aksi terakhir menentang Singapura di Stadium Nasional, malam esok.
Sudah melayakkan kaki di pentas separuh akhir bersama Singapura, anak didik Alexandre Polking tetap ditagih untuk meneruskan rentak kemenangan selepas sasaran untuk ke separuh akhir menjadi kenyataan.
Kemenangan yang diraih sama ada Thailand mahu pun Singapura mampu mengelakkan aksi menentang Vietnam yang dilihat tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan B selaku juara.
“Kami hanya mahu mengekalkan momentum kemenangan kami sebelum separuh akhir. Saya telah melihat mereka bermain dan merasakan mereka tidak bermain dengan prestasi terbaik mereka.
“Mereka mungkin boleh memenangi perlawanan malam esok”, kata pakar taktik Jerman-Brazil itu.
Thailand memperoleh tiket ke separuh akhir selepas menewaskan Filipina 2-1 pada Selasa dengan Teerasil Dangda menjaringkan kedua-dua gol.
Penyerang berusia 33 tahun itu kini menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa kejuaraan Asia Tenggara dengan 19 gol.





Add Comment