Bola Sepak

Tiada lagi kisah gaji tinggi, KDA FC jimat RM8 juta musim depan


Muhammad Sanusi (dua kiri) dan Khamal Idris (kanan) semasa pada sidang media di Wisma Darul Aman pada Khamis. Foto: AMMAR HAZIQ

Oleh: AMMAR HAZIQ

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mampu berjimat sehingga RM8 juta pada musim hadapan selepas beberapa pemain yang dibayar gaji tinggi musim ini meninggalkan pasukan tersebut.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pasukan tersebut hanya berbelanja sekitar RM22 juta pada tahun 2022 berbanding RM30 juta pada tahun 2021.

“Kos tinggi yang ditanggung oleh pengurusan sebelum ini disebabkan oleh gaji tinggi. Selepas ini kita harap masalah tunggakan gaji tidak lagi berlaku kerana kita tahu di mana tahap kewangan pasukan.

“Sebenarnya, kita terpaksa berhutang dan tidak mampu bayar sebelum-sebelum ini juga disebabkan oleh gaji pemain yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kali ke-46 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.

Mengulas lanjut, Presiden KFA itu berkata, beliau difahamkan terdapat pasukan yang berbelanja tidak lebih daripada RM12 juta atau RM13 juta namun masih mampu berada di kedudukan yang baik dalam Liga Malaysia.

Menurutnya, gaji-gaji pemain yang diletakkan pada paras yang begitu tinggi pada akhirnya akan membebankan pasukan itu sendiri jika tidak tahu mengukur kemampuan sebenar mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, walaupun kos operasi pasukan menurun pada musim hadapan namun kualiti pemain-pemain yang dibawa masuk diakui dan merupakan tonggak pasukan mereka sebelum ini.

Menurutnya, KDA FC berjaya mendapatkan empat hingga lima pemain tempatan baharu yang sedang meningkat naik dan boleh mengisi kelompangan dalam pasukan yang ditinggalkan oleh beberapa pemain Hijau Kuning.

“Pemain-pemain muda yang telah dibawa masuk merupakan tonggak utama pasukan masing-masing pada musim ini dan mereka telah menunjukkan prestasi yang konsisten dalam saingan Liga Super,” katanya lagi.

Ulas beliau lagi, biarpun Hijau Kuning menggunakan khidmat lima pemain import baharu musim depan namun kualiti dan pengalaman mereka dilihat mampu membantu pasukan itu untuk muncul antara pasukan tumpuan Liga Super pada 2022 termasuk memberikan saingan di pentas Piala AFC.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: