
Oleh: AMMAR HAZIQ
BEKAS pertahanan Melaka United FC, Jang Suk-won memohon maaf kerana tidak mengucapkan selamat tinggal kepada pengurusan, kakitangan kejurulatihan, pemain dan penyokong pasukan tersebut.
Suk-Won yang sah beraksi bersama naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim hadapan berkata, dia tidak mempunyai sebarang platform media sosial rasmi untuk menyatakan perpisahan dan rasa terima kasihnya kepada skuad Sang Kancil.
“Saya tidak tahu, ia berlaku secara tiba-tiba dan saya tidak mempunyai sebarang saluran untuk menyatakannya perhargaan kepada pengurusan dan penyokong MUFC.
“Sepanjang hidup saya. Saya memberikan segalanya untuk bola sepak. Pada saya kadangkala saya rasa media sosial boleh mengganggu prestasi saya.
“Saya menjauhinya supaya ia tidak mengganggu prestasi saya di dalam dan di luar padang,” katanya melalui kenyataan di Facebook MUFC.
Suk-Won berkata, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada MUFC kerana memberinya peluang untuk beraksi dan menjadi sebahagian daripada keluarga sejak tiga musik lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, jurulatih Zainal Abidin Hassan dan lain-lain yang meletakkan kepercayaan kepada saya. Dari lubuk hati saya, hanya Tuhan yang tahu betapa bersyukurnya saya untuk ini.
“Tiga tahun yang indah di Melaka United, ada naik dan turun tetapi bagi saya ia adalah sebahagian daripada kerjaya bola sepak saya. Saya gembira untuk mengharungi setiap perlawanan bersama keluarga saya,” katanya lagi.
Tambahnya, dia percaya perjalanan saya di Melaka sudah pun berakhir dan tiba masanya untuk cabaran dan pengembaraan baharu.
“Akhir sekali saya ingin menyatakan betapa bertuahnya saya selama tiga tahun ini. Tiada apa di dunia ini boleh mengubah perasaan ini.
“Jersi hijau dan logo ini akan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati saya. Mungkin pada masa akan datang kita akan bertemu lagi dan saya gembira untuk kembali lagi ke Melaka,” ujarnya.





Add Comment