
Oleh: JJFIRDAUS
PENYERANG legenda Thailand, Teerasil Dangda kini muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala AFF Suzuki apabila berjaya menjaringkan dua gol ketika Thailand mengatasi Filipina 2-1.
Dua gol itu menjadikan Dangda kini berjaya menjaringkan 19 gol mengatasi rekod lama yang dicipta pemain Singapura, Noh Alam Shah yang sebelum ini memegang rekod dengan 17 jaringan.
Dangda,33, yang mula mewakili skuad kebangsaan Thailand pada 2007 sudah melakukan 107 penampilan dan berjaya menjaringkan 49 gol dengan empat gol sudah dihasilkan pada tahun 2021, sekaligus membuktikan dirinya masih berbisa dan memastikan tindakan jurulatih, Alexander Polking untuk memanggilnya dalam skuad Gajah Perang adalah tepat.
Paling bermakna, dia kini mengenepikan penjaring terbanyak edisi 2018, Adisak Kraison sebagai penyerang utama untuk kejohanan kempen Piala AFF Suzuki kali ini.

Rekod cemerlang Dangda di kelab BG Pathum Thani musim ini dengan enam gol dari 13 penampilan dibawa ke Singapura apabila berjaya membantu Thailand muncul pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir selepas berjaya memenangi tiga perlawanan awal.
Dengan Thailand kini layak ke separuh akhir, maka tidak hairan jika dia berjaya melebarkan rekod jaringan ini mungkin melebihi 20 gol hanya dari empat kejohanan Piala AFF Suzuki yang sertainya
Sebagai rekod, Dangda juga berjaya muncul penjaring terbanyak kejohanan Piala AFF Suzuki pada tahun 2008 dengan empat gol berkongsi dengan Agu Casmir dan Budi Sudarsono dan lima gol pada 2012 manakala enam gol untuk edisi 2016.






Add Comment