
Oleh: AMMAR HAZIQ
PEMAIN terbaik perlawanan Vietnam menentang Malaysia, Nguyen Tuan Anh belum berpuas hati dengan prestasi semasanya walaupun berjaya membantu Naga Emas membenam Harimau Malaya 3-0 pada aksi Kumpulan B Piala AFF 2020 pada Ahad.
Menurutnya, masih banyak ruang yang perlu diperbaikinya selepas diturunkan pada perlawanan tersebut dan beliau akan cuba meningkatkan lagi prestasinya pada perlawanan berikut menentang Indonesia pada Rabu.
“Disebabkan oleh pandemik Covid-19, Liga 1 Vietnam terganggu dan saya juga tidak dapat beraksi. Saya tidak berpuashati dengan prestasi saya semasa menentang Malaysia.
“Apapun saya telah berusaha pada aksi pertama saya di Piala AFF Suzuki ini dan akan terus meningkatkan prestasi pada perlawanan seterusnya,” katanya yang dipetik melalui Portal Berita Viet Nam News.

Pemain berusia 26 tahun itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan di atas aksi cemerlang termasuk dua bantuan gol olehnya bagi gol pertama dan ketiga skuad Park Hang Seo itu.
Perlawanan menentang Malaysia pada Ahad itu merupakan penampilan pertama Ahn beraksi lebih 90 minit bersama skuad naga emas tersebut sejak lebih dua tahun lalu dan dia telah mempamerkan kesungguhannya dengan membantu dua daripada tiga jaringan kepada pasukan negaranya.
Lebih manis, tonggak utama pasukan Hoàng Anh Gia Lai (HAGL) yang beraksi di liga utama Vietnam ini mempunyai peluang untuk kembali menyerlah pada saingan Piala AFF Suzuki tahun ini selepas disisihkan pada edisi 2016 dan 2018.
Dia terpaksa digugurkan pada 2016 disebabkan oleh kecederaan lututnya semasa bersama kelab Jepun iaitu Yokohama manakala pada 2018 juga mengalami kecederaan sama iaitu semasa bersama kelab Liga 1 Vietnam.





Add Comment