Oleh : SUBKHI SUDARJI
JUARA lima kali Piala AFF, Thailand mengesahkan slot separuh akhir milik mereka apabila menewaskan Filipina, 2-1 pada aksi ketiga Kumpulan A, di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.
Tiga mata penuh diraih skuad Gajah Perang memastikan mereka mengumpul 9 mata hasil tiga perlawanan dan masih berbaki satu menentang Singapura, 18 Disember nanti.
Menjulang kejuaraan pada 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016, Thailand bagaimanapun diberikan tentangan sengit Filipina sehingga wisel penamat dibunyikan.
Penyerang berpengalaman Thailand, Teerasil Dangda membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledak dua gol pada minit ke-26 menerusi gol padang dan sepakan penalti pada minit ke -78 untuk memberikan kemenangan bermakna buat pasukan.
Gol tunggal Filipina pula dijaringkan pada minit ke-57 menerusi Patrick Reichelt yang dilihat bangkit pada separuh masa kedua.
Kemenangan Thailand ini memastikan mereka gah menerajui Kumpulan A dan sebarang keputusan pada aksi menentang Singapura nanti tidak akan menjelaskan statusnya di slot separuh akhir manakala bagi Filipina pula mereka telah terkeluar dalam perebutan kelompok empati terbaik.
Add Comment