Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Gajah Perang mahu lolos awal


Oleh : SUBKHI SUDARJI

THAILAND berada dalam kedudukan terbaik untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala AFF 2020 dan kemenangan ke atas Filipina petang ini akan mengesahkan slot empat terbaik.

Namun lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang selepas mereka mudah membelasah Timor-Leste, 7-0 pada aksi kedua selepas tewas tipis 1-2 di tangan Singapura pada aksi pertama Kumpulan A.

Terlalu banyak peningkatan dipamerkan Filipina ketika ini menyebabkan jurulatih Thailand, Alexandre Polking tidak mahu pemainnya terlalu memikirkan kejayaan besar lawan ke atas Timor Leste itu.

Tegasnya, dia mengakui betapa pentingnya aksi petang ini namun mahu pemainnya terus memberikan tumpuan sepenuhnya sehinggalah tamat perlawanan.

“Ia adalah perlawanan yang sangat penting dan ia boleh menjadi penentu untuk mara ke separuh akhir jadi kami telah banyak memberi tumpuan kepada pemulihan dan analisis.

“Saya pernah mengatakannya sebelum ini bahawa Filipina bermain dengan pasukan Timor-Leste dengan banyak perubahan dan oleh itu mereka tidak menarik perhatian saya terutamanya memandangkan Timor tidak membawa pemain utama mereka sehingga separuh masa kedua,” katanya.

Pada masa sama, jurulatih kelahiran Brazil itu terpaksa membuat beberapa perubahan memandangkan beberapa pemain utamanya tidak dapat bersama pasukan.

“Philip Roller baru sahaja tiba dari Jerman untuk menyertai skuad tetapi (penjaga gol) Kawin Thamsatchanan mempunyai masalah keluarga dan terpaksa meninggalkan skuad manakala (pemain pertahanan) Jonathan Khemdee berasa pening semasa latihan dan kami memutuskan adalah lebih baik untuk memastikannya betul-betul pulih,” katanya.

Thailand bakan menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang tuan rumah Singapura pada 18 Disember nanti dan Mika mereka merrain tiga mata petang ini sebarang keputusan pada aksi terakhir tidak akan menjelaskan peluang untuk beraksi dipentas separuh akhir.

Skuad Gajah Perang ketika ini menerajui Kumpulan A dengan mengumpul mata penuh selepas dua perlawanan manakala Singapura yang bakat bertemu Timor-Leste pada aksi sebelah malam berada dikedudukan tangga kedua dengan dibezakan jaringan gol.


Add Comment

Click here to post a comment