Bola Sepak

JDT-Cabrera berpisah selepas lima tahun


Gonzalo Cabrera

Oleh: JJFIRDAUS

JUARA Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan akan berpisah dengan penyerang lincah, Gonzalo Cabrera selepas lima tahun bersama kelab ini.

Cabrera yang mempunyai kerakyatan Argentina dan Iraq mewakili JDT dengan menggunakan kuota pemain antarabangsa Asia menjadi pemain luar pertama tidak bersama-sama JDT untuk musim hadapan selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata mahu merombak skuad JDT selepas Piala Malaysia 2021.

Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, sudah tiba masanya untuk berpisah tetapi ianya merupakan penghormatan yang amat besar.

Cabrera menyertai JDT pada 2017 membuat 152 penampilan adalah antara pemain antarabangsa yang menyerlah dan menjadi kesukaan penyokong dengan aksi bertenaga dan sering menjaringkan gol yang menarik.

Cabrera juga berjaya memahat dua rekod buat JDT apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT untuk Liga Super dengan 43 gol dan juga penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT untuk kesemua pertandingan dengan 66 gol.

Selain itu, Cabrera berjaya memenangi 11 piala bersama JDT dengan lima kejuaraan Liga Super (2017-2021), empat Piala Sumbangsih (2018-2021) dan dua Piala Malaysia (2017 dan 2019) sekaligus meletakkan dirinya sebagai salah seorang legenda JDT.

Keputusan ini juga sekaligus menutup desas-desus mengenai kelayakan Cabrera untuk dinaturalisasikan selepas lima tahun beraksi di Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading