Bola Sepak

Bintang muda Korea Selatan jadi pilihan KDA FC ganti Alves


Suk Won bakal bertukar angin ke Kedah musim depan.

Oleh: AMMAR HAZIQ

KUALITI bekas pelatih skuad kebangsaan Korea Selatan Bawah 20 dan 23 tahun, Jang Suk-Won yang beraksi dengan baik di posisi pertahanan tengah bersama Melaka United FC menjadi antara faktor Kedah Darul Aman (KDA) memilihnya mengantikan posisi Renan Alves pada saingan musim 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, pemilihan dan penilaian terhadap Suk Won telah dilakukan semasa saingan Liga Malaysia berlangsung terutamanya selepas pemain tersebut menjadi nadi utama Sang Kancil membantu pasukan itu mara sehingga separuh akhir Piala Malaysia 2021.

“Keupayaannya mengawasi penyerang pasukan lawan setiap kali dia diturunkan menjadikan Suk Won antara pemain pilihan yang akan mengisi bahagian pertahanan KDA FC pada musim hadapan.

“Kami yakin dengan keupayaannya dan percaya akan cepat serasi dengan pemain-pemain Hijau Kuning selain telahpun mempunyai pengalaman dengan situasi bolasepak di negara ini,” katanya kepada Cakap Sukan.

Sementara itu, laman Facebook rasmi KDA FC mengesahkan pemain tersebut menjadi pemain import pertama mereka yang diikat memperkuatkan skuad tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan juga Piala AFC 2022.

Suk Won pernah mewakili pasukan Seongnam FC dan Fagiano Okayama sebelum beraksi dengan Melaka United FC sejak musim 2019.

Dia antara pemain utama pasukan lamanya ketika membantu kebangkitan Melaka United FC musim lepas sehingga layak ke Separuh Akhir TM Piala Malaysia.

Pengalamannya beraksi dalam liga tempatan dijangka memberi kelebihan untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan ketika pra-musim dan posisi tengah pertahanan KDA FC kini dibawah tanggungjawabnya bergandingan dengan beberapa muka baru lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: