
Oleh : SUBKHI SUDARJI
VIETNAM terus melebarkan rekod kemenangan ke 14 mengatasi Malaysia apabila menang 3-0 pada aksi Kumpulan B, Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.
Terdahulu skuad Naga Emas yang berada di kedudukan 99 dunia sudah mengatasi 13 kemenangan dan tiga seri serta membuktikan reputasi selaku juara bertahan apabila menekan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sebaik wisel perlawanan ditiupkan pengadil.
Dua gol dalam tempot empat minit pada separuh masa pertama nyata membezakan kedua-dua pasukan dengan Malaysia jatuh ke kedudukan ke tiga peringkat kumpulan selepas tiga perlawanan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan.
Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, Cheng Hoe menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menang 4-0 ke atas Laos dilihat nyata gagal mengimbangi corak permainan pantas Vietnam.
Episod duka kem Harimau Malaya mula kelihatan apabila ketua pasukan , Aidil Zafuan dikeluarkan pada minit ke-23 selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Dominic Tan.
Selang sembilan minit kemudian, gawang tuan rumah akhirnya bocor menerusi rembatan menarik Nguyen Quang Hai untuk menewaskan Khairul Fahmi.
Belum pun kem Harimau Malaya reda dengan gol tersebut, Nguyen Cong Phuong menambah derita apabila menjaringkan gol kedua selepas berjaya memperdayakan Dominic sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan Khairul Fahmi.
Memasuki babak kedua, Cheng Hoe telah membuat dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan Luqman Hakim serta Mukhairi Ajmal dan memasukan Guilherme De Paula dengan Kogileswaran.
Kemasukan dua pemain tersebut dilihat berjaya memberi sedikit tekanan buat Vietnam dan Malaysia turut mempunyai beberapa peluang namun buntu untuk merobek gawang lawan.
Skuad kebangsaan terus diuji dengan kecederaan apabila giliran Shahrul Saad pula terpaksa dikeluarkan pada minit ke 70 ekoran kecederaan dibahagian peha dan digantikan dengan Arif Farhan.
Ketinggalan 0-2 tidak melemahkan semangat pemain yang terus berusaha memburu gol untuk merapatkan jurang namun lawan dilihat kental bertahan dan mudah mematahkan gerakan pemain Malaysia.
Nguyen Hoang Đuc memastikan kemenangan mutlak buat Vietnam apabila meledak gol ketiga dipenghujung babak kedua untuk kemenangan 3-0 mengatasi Malaysia.





Sungguh sedih bila tengok persembahan skuad kebangsaan mcm tu..rasanya bagus lagi corak permainan budak kg sy bermain..cadangan sy pada yg brwajib terutamanya pada menteri belia dn sukan serta FAM cari bakat baru dari pelusuk negara..minta setiap ketua kg setiap daerah hantar nama yg brbakat utk di uji di peringkat daerah disetiap negeri seterusnya keperingkat kebangsaan..sebab pemain yang kita ada setakat ini langsung tidak berkualiti..terlalu banyak pemain yg lg bagus dikawasan2 pedalaman tidak diketengahkan..sekian pendapat/cadangan sy(maju sukan untuk negara)masih belum terlambat untuk membuat pembaikan.