Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Bekas pemain kebangsaan kongsi rahsia kejayaan benam Vietnam


Piya (dua,kanan) bersama sebahagian pemain yang mewakili Yakult All Star.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BIARPUN  Vietnam hadir selaku juara bertahan dan diletakkan sebagai pasukan  pilihan menjuarai Piala AFF 2020, namun tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk menewaskan lawan yang pernah dikecewakan pada saingan separuh akhir kedua 2014.

Bekas perancang tengah Harimau Malaya, Mohd Badhri Radzi menegaskan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe kini berada dalam prestasi terbaik dan perlu turun dengan keyakinan tinggi dan serta tidak perlu gerun dengan reputasi lawan.

Badhri yang berada dalam skuad kebangsaan sewaktu saingan Piala AFF 2014, menjelaskan, sejarah sudah membuktikan Vietnam mampu ditewaskan  selepas kecundang 2-4 kepada Harimau Malaya pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh.

“Pada 2014 kita tewas 1-2 di Shah Alam dan perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 di Vietnam. Tapi dengan keyakinan tinggi semua pemain kita berjaya menewaskan mereka 4-2 di Hanoi.

“Sebab itu saya kata tiada yang mustahil, nak selesa kita kena menang 1-0 pun sudah cukup buat Malaysia. Semua pemain hanya perlu yakin kepada diri sendiri dan semua rakan sepasukan.

“Jangan terlalu fikir kelebihan Vietnam bagi mengelak daripada tekanan dan pemain hanya perlu turun beraksi seperti biasa.”  katanya ditemui selepas beraksi dalam perlawanan amal bersama pasukan Yakult All Star menentang Harimau Pekak Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.

Badhri yang lebih mesra dengan panggilan Piya turut menyifatkan penjaring hatrik ketika menentang Laos, Safawi Rasid seorang pemain yang luar biasa.

“Safawi dan Arif Aiman ketika ini luar biasa, mereka berdua mampu lakukan lebih baik, begitu juga rakan sepasukan lain yang memiliki kelebihan masing-masing,” jelasnya.

Tujuh tahun lalu, puluhan ribu penyokong di Stadium My Dinh menjadi saksi kebangkitan dramatik Harimau Malaya untuk menyingkirkan Vietnam pada separuh akhir Piala AFF dengan agregat 5-4.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: