Oleh : SUBKHI SUDARJI
PERTEMBUNGAN Malaysia menentang Indonesia terus mencuri perhatian apabila tiket untuk menyaksikan perlawanan yang dijadualkan pada 19 Disember 2021 telah habis dijual.
Sebanyak 1,000 tiket telah disediakan bagi perlawanan tersebut yang merupakan aksi terakhir bagi kedua-dua pasukan dalam peringkat kumpulan.
Selepas berakhirnya dua perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia menerajui dengan enam mata manakala Indonesia dan Vietnam yang beraksi satu perlawanan ditangga kedua dan ketiga dengan tiga mata.
Berdasarkan kenyataan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) yang merupakan penganjur kejohanan Piala AFF 2020 sebelum kejohanan bermula, dua stadium telah dikenalpasti bakal dijadikan gelanggang perlawanan membabitkan Kumpulan A dan Kumpulan B.
Kumpulan A terdiri dari pasukan Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina dan Timor Leste manakala Malaysia, Vietnam, Indonesia, Kemboja serta Laos berada dalam Kumpulan B.
Seramai 10,000 penonton dibenarkan masuk menyaksikan setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura berkapasiti 55,000 orang bagi aksi Kumpulan A manakala hanya 1,000 penonton dibenarkan masuk ke Stadium Bishan yang menjadi lokasi perlawanan Harimau Malaya dalam kumpulan B.
Semua tiket perlawanan itu dijual dengan harga 25 dolar sekeping (RM77.32) untuk dewasa dan 12 dolar (RM37.11) bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Setiap satu tiket dibenarkan menonton dua perlawanan pada hari yang sama.
Menurut kenyataan rasmi FAS semua penonton akan diberikan tag pergelangan tangan berwarna untuk tujuan pengenalan yang membolehkan kemasukan semula pada hari perlawanan itu, selepas menunjukkan bukti vaksinasi penuh dan melengkapkan pemeriksaan wajib.
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah wajib ditemani oleh orang dewasa berumur 21 tahun dan ke atas. Semua kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas dikenakan tiket untuk masuk ke stadium.
Selain itu, makanan dan minuman tidak dibenarkan di dalam stadium dan para penyokong diwajibkan memakai pelitup muka.
Sebarang alat muzik turut tidak dibenarkan bawa masuk ke stadium termasuk sepanduk, tertakluk kepada kelulusan di pintu masuk oleh pegawai keselamatan.







Add Comment