Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Ledakan hatrik Safawi pacu kemenangan Malaysia


Safawi ledak tiga gol. Foto: FAM

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PEMAIN Paling Bernilai (MVP) 2018 dan 2019, Safawi Rasid berada dalam prestasi terbaik selepas meledak hatrik membantu kemenangan Malaysia mengatasi Laos, 4-0 pada aksi kedua Kumpulan B, Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Kemenangan ini memastikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe gah menerajui Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas menang ke atas Kemboja, 3-1 pada aksi pertama Isnin lalu.

Pada aksi yang berlangsung, Cheng Hoe membuat sedikit perubahan dalam kesebelasan utama apabila meletakkan Gilherme De Paula di bangku simpanan dan menurunkan Luqman Hakim untuk bergandingan dengan Safawi Rasid dan juga Arif Aiman.

Malaysia bagaimanapun sedikit goyang pada awal permainan apabila ayam tambatan Laos, Billy Ketkeophomphone mula menguji Khairul Fahmi Che Mat menerusi rembatannya namun Khairul Fahmi berada dalam kedudukan terbaik untuk menafikan hajat awal lawan.

Percubaan tersebut nyata menyedarkan barisan pemain Harimau Malaya yang mula bangkit mengatur gerakan memburu gol dan terhasil menerusi gerakan dijelmakan Arif Aiman yang melorongkan bola kepada Safawi.

Safawi yang berada dalam kedudukan terbaik tenang menolak bola melepasi garisan gol pada minit ke-7 ketika penjaga gawang Laos, Keo-Oudone Souvannasangso hanya sekadar memerhati.

Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 dan 2019 itu sekali lagi menggandakan kelebihan jaringan buat pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-34 kali ini menerusi tandukan selepas mendapat hantaran sepakan penjuru.

Tidak cukup dengan dua gol yang dihasilkan pada separuh masa pertama, Safawi terus ghairah memburu hatrik apabila bersambung pada babak kedua menerusi sepakan percuma pada minit ke-59 namun Souvannasangso terpaksa melayangkan badan untuk mengagalkan percubaan tersebut.

Ketika jentera serangan ghairah memburu gol, Shahrul Saad yang beraksi di posisi pertahanan muncul penjaring gol ketiga buat pasukan selepas hantaran cantik dari Baddrol Bakhtiar tepat ke kaki pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membuat sepakan menewaskan Souvannasangso buat kali ketiga pada minit ke-77.

Safawi yang dinobatkan selaku Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular  pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2019 itu terus membuktikan bisanya selaku penyerang selepas meledak hatrik buat dirinya dan gol keempat bagi pasukan selang dua minit kemudian.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment