Bola Sepak

KDA FC bakal ‘borong’ lima pemain import baharu


Sherman sah bersama Terengganu FC musim depan. Foto: KDA FC

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDAFC) kemungkinan besar terpaksa mencari lima pemain import baharu bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2022.

Menurut ketua Eksekutif KDAFC, Khamal Idris Ali, senarai barisan pemain tempatan sudah hampir siap namun lima pemain import masih dalam proses pemilihan.

“Kita tidak mahu terburu dalam usaha mencari pemain import kerana masih mempunyai masa sehingga bulan Februari tahun hadapan untuk mendaftarkan mereka bersama Malaysian Football League (MFL).

“Sebelum ini kita hanya mahu mengekalkan da pemain import musim lalu bersama pasukan musim ini tetapi Kpah Sherman telah mengambil keputusan untuk bersama pasukan Terengganu musim 2022.

“Manakala Thetche Kipre pula telah menerima tawaran daripada beberapa pasukan yang beraksi pada Liga Malaysia dan kita belum mengetahui keputusannya untuk bersama kita ataupun sebaliknya,” kata Khamal.

Katanya, ketua jurulatih pasukan KDAFC, Aidil Sharin diberi mandat bagi mendapatkan pemain import pasukan Kedah musim 2022 dan juga barisan pemain tempatan baru.

“Aidil sebagai ketua jurulatih berhak dan adalah pegawai pasukan terbaik untuk mengenal pasti barisan pemain import yang diperlukan oleh pasukan Kedah bagi memantapkan prestasi untuk mengharungi musim 2022.

Aidil kini dalam proses mencari pemain import baharu.

“Barisan pemain tempatan yang baru diserapkan dalam senarai pasukan Kedah musim baru juga adalah yang telah ditentukan oleh Aidil kerana beliau lebih mengetahui barisan pemain yang diperlukan.

“Walaupun pemain veteran seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali kini sudah bersama pasukan Sabah FC barisan pemain yang baru diserapkan mampu memastikan ketiadaan dua tonggak utama musim lalu tidak akan dirasai,” kata Khamal.

Menurutnya, Aidil telah mengenal pasti barisan pemain import pasukan Kedah musim 2022 tetapi terpaksa merahsiakan nama-nama mereka kerana perbincangan untuk mendapatkan mereka sedang berjalan dengan lancar ketika ini.

“Hanya setelah mengesahkan mereka menjadi pemain kita barulah kita akan dapat umum dan berharap peminat setia pasukan terpaksa bersabar buat seketika,” kata Khamal.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading