Permotoran

F1 Abu Dhabi: Aksi penentuan Verstappen, Hamilton hujung minggu ini


Verstappen (kiri) dan Hamilton bakal menjadi tumpuan hujung minggu ini. Foto: F1

Oleh: JJFIRDAUS

LEWIS Hamilton dan Max Verstappen hadir ke Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini terikat dengan 269.5 mata, menjadikan pemenang perlumbaan terakhir musim ini di Litar Yas Marina sebagai juara dunia Formula Satu (F1) musim 2021.

Dalam bahasa yang lebih mudah, mana-mana pemandu yang menjuarai Grand Prix Abu Dhabi atau memungut lebih mata akan menjadi juara. Namun jika kedua-dua pemandu ini gagal menamatkan perlumbaan, Verstappen akan muncul sebagai juara kerana dia memenangi sembilan perlumbaan berbanding Hamilton dengan lapan kemenangan.

Jika perkara ini berlaku, Verstappen akan memenangi kejuaraan dunia pertamanya secara kiraan kemenangan dan ianya akan menjadi sejarah dalam F1 dengan dua pelumba teratas berkongsi mata yang sama.

Ada satu lagi kemungkinan dimana kedua-dua pelumba boleh menamatkan musim dengan mata yang sama jika salah seorang menduduki tempat kesembilan manalala seorang lagi di kedudukan ke-10 dan mencatat masa sepusingan terpantas.

Dan jika ini berlaku, Verstappen juga akan bergelar juara dunia. Oleh itu, Hamilton perlu memastikan beliau berjaya mengatasi mata Verstappen jika mahu mencatat rekod kejuaraan dunia kelapan.

Ini adalah kali pertama dua pemandu memasuki perlumbaan terakhir dengan mata yang sama sejak 1974 apabila Emerson Fittipaldi dan Clay Regazzoni terikat dengan 52 mata menjelang Grand Prix Amerika Syarikat. Fittipaldi muncul juara selepas tamat di kedudukan keempat manakala Regazzoni berakhir di kedudukan ke-11 dengan kereta yang rosak.

Sementara itu, dalam kategori pengeluar pula, perebutan juara dilihat lebih jelas. Tidak seperti perebutan kategori pemandu antara Hamilton dan Verstappen, Mercedes dilihat mempunyai kelebihan berbanding Red Bull.

Mendahului 28 mata dalam kedudukan pengeluar dengan 44 mata maksimum, Mercedes akan menjulang kejuaraan kelapan berturut-turut jika mereka berjaya mencatat 17 mata lebih dari Red Bull hujung minggu ini.

Namun, jika salah satu dari jentera Mercedes tersingkir awal dan Red Bull berjaya tamat pada kedudukan satu dan dua, kejutan pasti akan berlaku dalam kejuaraan pengeluar, sebaliknya jika kedua-dua pengeluar terikat dengan mata yang sama, Red Bull akan muncul juara juga dengan kelebihan kemenangan.

Sejak kejuaraan pengeluar diperkenalkan pada 1958, pemenang tidak pernah lagi ditentukan menerusi kiraan kemenangan pada penghujung musim. Nantikan Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini untuk mengetuai siapakah bakal muncul juara pemandu dan juga pengeluar untuk musim 2021.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d