
Oleh: AMMAR HAZIQ
PENYERANG kebangsaan Laos, Billy Ketkeophomphone berharap pasukannya dapat menemui sentuhan gol apabila bertemu Malaysia pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF 2020 di Stadium Bishan pada Khamis.
Billy yang beraksi di liga kedua Perancis bersama kelab, USL Dunkerque percaya rakan-rakan senegaranya akan bangkit melakarkan kejutan selepas tewas 2-0 pada aksi pertama kepada Vietnam pada Isnin lalu.
“Pada aksi bertemu Vietnam kita beraksi dengan baik. Kita bertahan dengan baik namun pasukan lawan lebih kuat daripada kita. Saya harap pasukan akan beraksi dengan lebih baik dan menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya (bertemu Malaysia),” katanya yang dipetik melalui wawancara di Facebook Lao Football Federation.
Menurutnya, dia gembira apabila dipanggil untuk beraksi dengan pasukan kebangsaannya dan akan cuba memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan.
Dalam pada itu, Billy mengakui mengalami kecederaan di bahagian buku lalinya dan kini pasukan kecergasan sedang membantu untuk memulihkan agar dapat diturunkan pada aksi bertemu Harimau Malaya.

“Keadaan saya baik cuma alami sedikit kecederaan di bahagian buku lali. Sekarang saya dah rasa baik dan mungkin esok akan bertambah baik. Harap semasa bertemu Malaysia sudah tidak sakit lagi,” katanya.
Billy yang memiliki kualiti tersendiri selain mempunyai saiz tinggi lampai harus diberikan perhatian penuh oleh barisan pertahanan Malaysia sekiranya pasukan negara tidak mahu berputih mata pada perlawanan ini.
Isnin lalu, Vietnam menepati ramalan awal sebagai pasukan pilihan Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 apabila mudah membenam cabaran Laos 2-0 dalam pertemuan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura.
Turun sebagai pasukan pilihan dan dibarisi pemain-pemain utama, anak buak Park Hang Seo dilihat tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan pertama kempen kali ini hasil jaringan Nguyen Cong Phurong pada minit ke-26 yang mudah menolak masuk selepas permainan berpasukan yang menarik.
Vietnam kemudiannya berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-58 selepas Phan Van Duc menanduk masuk selepas menerima hantaran lintang.






Add Comment