Bola Sepak

Piala AFF 2020: Keraguan penyokong buat The Azkals jadi pilihan


Stewart Hall

Oleh: JJFIRDAUS

PERNAH dianggap sebagai pasukan kerdil di rantau Asia Tenggara, kini Filipina telah meletakkan diri mereka sebagai salah satu pasukan yang disegani sejak sedekad lalu.

Filipina kini mencipta rekod tersendiri apabila berjaya layak keempat penampilan di peringkat separuh akhir dalam lima kejohanan terakhir Piala AFF Suzuki. Pun begitu, para penyokong The Azkals masih mempunyai rasa ragu-ragu dan tidak yakin terhadap pasukan ini walaupun mereka masih belum menyepak bola dalam kejohanan yang berlangsung di Singapura ini.

Jurulatih Azkals, Stewart Hall nyata bingung dengan tindakan para penyokong ini dan membawa isu ini dalam sidang media sebelum perlawanan pertama mereka menentang tuan rumah, Singapura.

“Kami sedar di Filipina mereka memberikan jangkaan yang rendah terhadap skuad ini. Saya gunakan perkara ini sebagai motivasi. Saya beritahu para pemain bahawa mereka tidak diletakkan sebarang harapan dan penyertaan kami adalah sekadar pelengkap,” kata Hall.

“Saya dan para pemain sudah menonton semua permainan setakat ini dan kami sedar tiada apa yang perlu ditakuti. Ya, kami sedar masih ada beberapa pemain yang masih belum cergas, dan persiapan hanya diadakan pada saat-saat terakhir.

“Namun kami mempunyai pemain yang kami perlukan dan hanya kami yang bakal menentukan hala tuju skuad kami kali ini. Itulah motivasi kami, ujar Hall dalam satu sidang media pasukan.

Namun begitu, keraguan para penyokong Filipina itu ada benarnya kerana skuad kali ini banyak dibarisi pemain-pemain muda yang baru dibentuk menjelang kejohanan dwi-tahunan ini. Dan ini adalah kali pertama sejak 2004, Filipina bertanding di Piala AFF Suzuki tanpa kehadiran pemain kembar legenda, Phil dan James Younghusband yang berjaya menaikkan minat warga Filipina kepada bola sepak yang dikenali lebih berminat kepada sukan bola keranjang dan tinju.

Dua beradik itu bersara selepas membantu Filipina beraksi dalam Piala Asia buat kali pertama pada 2019 dan juga menjadi antara pemain yang membantu Azkals layak ke separuh akhir Piala Suzuki pada 2010.

Penjaga gol KL City FC, Mendoza turut berada dalam skuad Filipina di Piala AFF 2020.

Filipina diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Singapura, Thailand, Myamnar serta Timor Leste dan pastinya mereka menyasarkan untuk layak sekali lagi ke peringkat separuh akhir.

Penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza tersenarai dalam skuad Filipina kali ini bersama-sama beberapa bekas pemain Liga Malaysia seperti Amani Aguinaldo, Amin Nazari, Angel Guirado dan Patrick Reichelt.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: